Serangan roket, tunjuk perasaan Palestin bantah persetujuan damai

Gambar Fail sejumlah penduduk Palestin di Ramallah melakukan tunjuk perasaan bagi menentang penjajahan Israel - Foto AFP
Gambar Fail sejumlah penduduk Palestin di Ramallah melakukan tunjuk perasaan bagi menentang penjajahan Israel - Foto AFP
A
A
A

ASHDOD - Sekurang-kurangnya dua orang cedera di selatan Israel akibat serangan roket yang dilancarkan dari Gaza, Palestin yang dikuasai Hamas semalam, kata pihak berkuasa perkhidmatan ambulans.

Serangan itu kebetulan berlaku pada hari negara Yahudi tersebut menandatangani persetujuan untuk menormalkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Roket itu mendarat di bandar Ashdod, selatan Israel, kata perkhidmatan ambulans.

Beberapa saksi di Gaza berkata, ia dilancarkan dari pantai utara Gaza ke wilayah negara Yahudi tersebut.

Setakat ini, masih tidak ada pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Dalam pada itu, penduduk Palestin turut membantah persetujuan tersebut melalui tunjuk perasaan di jalanan.

Sambil memegang bendera Palestin dan memakai pelitup muka berwarna biru bagi melindungi diri daripada pandemik koronavirus (Covid-19), para penunjuk perasaan itu berhimpun di bandar Tebing Barat, Nablus, Hebron dan Gaza.

Ratusan penduduk turut terlibat dalam tunjuk perasaan di Ramallah iaitu tempat pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin diketuai Presiden Mahmud Abbas.

Artikel Berkaitan:

Sepanduk-sepanduk dipamerkan pada tunjuk perasaan itu yang tertera perkataan 'Pengkhianat' 'Tidak Kepada Normalisasi Dengan Pendudukan (Israel)' dan 'Perjanjian Yang Memalukan.' - AFP