Dua Matusin berentap DUN Tulid

Gambar dari kiri: Matusin Bowie @ Matius, Matusin Timam
Gambar dari kiri: Matusin Bowie @ Matius, Matusin Timam
A
A
A

KENINGAU - Antara 447 calon yang bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, nama ‘Matusin’ menarik perhatian apabila dua calon berkongsi nama, berentap di DUN Tulid.

Bekas pemain pertahanan pasukan bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Matusin Timam, bekas penolong pegawai perubatan, mewakili Parti Cinta Sabah (PCS), antara tujuh calon yang bertanding di Tulid, satu daripada 13 kerusi baharu yang ditawarkan kali ini.

Matusin Bowie, pemain bola sepak era 1990-an itu berkata, pastinya persaingan dua nama ini menarik dan kempen terbuka tentunya rancak dengan setiap calon menawarkan manifesto masing-masing kepada 8,910 pengundi Tulid.

“Ya, saya pun tidak menyangka wujud nama yang sama tapi itulah adat pertandingan politik. Saya mungkin muka baharu tetapi saya setia kepada parti sejak dahulu lagi selepas menggantung but bola dan kerana itu kepercayaan diberikan untuk diangkat menjadi calon,” kata Matusin Bowie, 50, kepada Benama.

“Isu keperluan asas pastinya antara yang akan kita bawa dan jelaskan kepada pengundi kerana mereka berhak mendapatkan akses dan keperluan yang sebaik-baiknya,” kata bekas penjawat awam tersebut.

Sementara itu, Matusin dari PCS berkata, permasalahan dihadapi rakyat di DUN Tulid terutamanya isu bekalan air terawat, kekurangan keperluan asas seperti akses jalan raya menjadi manifesto peribadi yang akan dilaksanakannya sekiranya diberi mandat pada 26 Sept ini.

Beliau berkata, ia merupakan isu utama dibangkitkan pengundi di DUN Tulid dan menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab yang perlu diselesaikan serta mendakwa ia gagal ditangani sejak puluhan tahun lalu.

“Kami juga (PCS) menawarkan satu sistem kerajaan negeri yang lebih stabil bagi membawa Sabah lebih maju ke hadapan. Oleh itu besar harapan saya terutamanya kepada pengundi muda dan golongan pengundi atas pagar supaya membuat pilihan terbaik yang akan memberi pulangan kepada mereka,” kata Matusin, 56.

Artikel Berkaitan:

DUN Tulid, turut direbut lima lagi pencabar iaitu Dahalan@Ulin Abdullah @ Amil dari Parti Liberal Demokratik (LPD), Mudi Dubing (Parti Warisan Sabah), Flovia Ng (Perikatan Nasional-STAR), Mohamad Khairy Abdullah (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu - Usno), dan Suman Yasambun (Parti Bersatu Sabah - PBS).

Calon Parti Usno, Mohamad Khairy Abdullah pula yakin mempunyai kelebihan selepas berlakunya pertembungan sesama sendiri ‘parti sekapal’ melibatkan calon PN, BN dan PBS.

“Pertembungan tiga sekutu politik ini pasti menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap keutuhan kerjasama mereka sekali gus mendorong kepada berlakunya perpecahan undi selain undi protes daripada penyokong yang kecewa dengan situasi ini.

“Justeru pasti ramai pengundi akan menjadikan kami sebagai pilihan alternatif dan kami cuma perlu berusaha lebih keras untuk memastikan pengundi atas pagar turut cenderung mengundi kami,” kata bekas wartawan itu.

Usai menyantuni penduduk di beberapa kampung termasuk di kawasan Mailo dan Simbuan, kira-kira 35 kilometer dari pekan Keningau, yang memerlukan perjalanan sejam untuk sampai, calon PN, Flovia, masih mampu melemparkan senyuman walaupun ditemu bual lewat malam.

“Ini pengalaman baharu kepada saya. Dulu saya boleh ke pasar, ke sana sini jumpa rakan-rakan, kini saya ditemani pasukan dan jentera untuk turun padang dan berkempen seawal pagi sampai malam.

“Isu bekalan air bersih, bekalan elektrik dan jalan raya lebih baik pastinya akan menjadi bahan kempen,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 September. - Bernama