Taman Negeri Rompin dibuka 1 Oktober depan

Wan Rosdy meninjau kemudahan yang diaediakan di Taman Negeri Rompin pada lawatan beliau sempena Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pembukaan Semula Taman Negeri Rompin, di sini semalam.
Wan Rosdy meninjau kemudahan yang diaediakan di Taman Negeri Rompin pada lawatan beliau sempena Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pembukaan Semula Taman Negeri Rompin, di sini semalam.
A
A
A

ROMPIN - Pencinta alam semula jadi dapat menikmati keindahan alam Taman Negeri Rompin di sini, apabila ia akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 1 Oktober depan.

Melalui pembukaan semula taman negeri itu akan memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semulajadinya dalam suasana tersendiri dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan lengkap yang disediakan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan semula Taman Negeri Rompin yang dahulunya dikenali sebagai Taman Negeri Endau Rompin (TNER) dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, 26 Ogos lalu.

Menurutnya, nama Taman Negeri Rompin dipilih atas perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kerajaan negeri sebelum ini bercadang menukar nama Taman Negeri Endau Rompin bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan pelancong dengan Taman Negara Endau-Rompin, Johor yang diuruskan Perbadanan Taman Negara Johor.

"Penjenamaan semula taman negeri ini turut melibatkan penambahbaikkan infrastruktur dan kemudahan dengan peruntukan RM15 juta yang disalur melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"Ia termasuk pembinaan kompleks pelawat, pusat penyelidikan menara tinjau, jambatan gantung, dewan serbaguna dan lain-lain kemudahan untuk keselesaan pengunjung," katanya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pembukaan Semula Taman Negeri Rompin, di sini semalam.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri pula melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja naiktaraf jalan masuk ke Taman Negeri Rompin yang akan dilaksanakan segera dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembukaan semula taman negeri itu akan mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk kampung sekitar daerah Rompin melalui aktiviti-aktiviti eko-pelancongan yang dijalankan.

Taman Negeri Rompin yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau Rompin ditubuhkan sejak Disember 2000 dengan keluasan 31,797 hektar dan telah ditutup selama tiga tahun bermula Ogos 2016 bagi kerja naiktaraf.

Ia dibuka semula (prapembukaan) bermula 15 Ogos lalu hingga 30 September ini.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, seramai 13.99 juta pelancong datang ke Pahang tahun lalu sekali gus meletakkan negeri ini sebagai destinasi teratas pelancongan domestik.

"Bagaimanapun jumlah kedatangan pelancong menunjukkan ‘trend’ menurun tahun ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia tidak terkecuali negara dan negeri ini.

"Kerajaan negeri tetap optimis, sektor pelancongan akan mulai rancak secara berperingkat. Justeru, penekanan akan diberikan bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk melancong semula ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga komited untuk mengaktifkan kerjasama dengan negeri-negeri jiran yang bersempadanan seperti Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, serta negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur termasuk Terengganu dan Kelantan, bagi memasarkan pakej-pakej menarik intra-negeri," katanya.