X

Kindly register in order to view this article
!

Kita jaga kita bah, nasihat Muhyiddin kepada penduduk di Sabah

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas berkaitan situasi semasa Covid-19 di dalam negara, malam ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan penduduk di negeri Sabah supaya lebih berhati-hati ekoran peningkatan kes-kes baharu Covid-19 yang amat ketara khususnya di Tawau dan Lahad Datu.

Jelasnya, dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau ingin mengingatkan rakyat yang berada di negeri itu supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin.

"Kepada petugas-petugas pilihan raya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihan raya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit.

"Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan Covid-19. Kita jaga kita bah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua stesen televisyen tempatan dan media-media sosial pada jam 8 malam semalam.

Menurut Perdana Menteri, sehingga 15 September 2020, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah seramai 9,969 orang.

Daripada jumlah tersebut 9,209 kes telah sembuh dan discaj daripada wad, menjadikan kadar kesembuhan sebanyak 92.4 peratus dan 128 kes telah dilaporkan meninggal dunia, menjadikan kadar kematian sebanyak 1.28 peratus.

"1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian Covid-19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

"Secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah ini 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.

"Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring," jelasnya.

Tambah beliau, walaupun negara setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak Covid-19 dengan baik, namun beliau berasa bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini.

"Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.

"Peningkatan ini turut menyaksikan tiga buah daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah.

"Sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 September 2020 adalah seramai 1,017 orang," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Muhyiddin, jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang masih berusaha keras menangani penularan jangkitan Covid-19 yang belum lagi menunjukkan tanda untuk reda.

"Malah, beberapa buah negara kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global.

"Walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada saudara dan saudari yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara kita daripada wabak yang mengancam nyawa ini," katanya.

Tegas Muhyiddin, kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

"Justeru, kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara. Malah kawalan sempadan negara kita akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin," ujar beliau.

Sehubungan itu, Muhyiddin ingin mengingatkan rakyat jika kes-kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan semula.

"Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini," jelasnya.

Muhyiddin berharap agar semua rakyat akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dan sentiasa mengingatkan diri supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan.

"Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Oleh itu, berhati-hatilah. Lindungi diri anda. Lindungi keluarga anda. Lindungi orang-orang di sekeliling anda.

"Sama-samalah kita berdoa semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi Covid-19 akan berjaya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!