Sultan Nazrin rai Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak

Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada Wira Negara yang juga veteran polis, Sulaiman Ahmad, 64, (dua dari kanan) pada Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan kepada Wira Negara yang juga veteran polis, Sulaiman Ahmad, 64, (dua dari kanan) pada Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan berangkat ke Majlis Jamuan Teh dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hadir turut menyampaikan sembah ucapan di dalam majlis tersebut.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 12 wira negara terdiri daripada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Majlis kemudiannya disusuli penyampaian hadiah sempena Hari Kebangsaan 2020 melibatkan Pertandingan Sayembara Puisi Hari Kebangsaan Negeri Perak bagi kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Terbuka.

Turut disampaikan, hadiah Pertandingan Video Pendek Hari Kebangsaan Negeri Perak 2020.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Negeri Perak membabitkan enam kategori iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kampung dan Taman Perumahan, Bangunan Kerajaan dan Swasta, Individu, Pintu Gerbang dan Sekolah.

Kesemua pemenang diberikan hadiah berupa wang tunai dan plak penghargaan.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu juga, baginda turut menyampaikan Anugerah Pengiktirafan Khas Petugas Barisan Hadapan Covid-19 kepada enam agensi terpilih.

Penerima tersebut ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming mewakili Jabatan Kesihatan Perak; Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng mewakili PDRM; Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Malek Razak Sulaiman mewakili ATM; Pengarah Bomba Negeri, Azmi Osman mewakili JBPM; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak; Kolonel (PA) Noor Azam Kamal mewakili APM dan Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Perak, Kamarul Idzham Kamal mewakili Rela.