Otai hoki negara masih berbisa

Megat D Shahriman (Berdiri; tiga dari kanan), bersama Team Grays.
Megat D Shahriman (Berdiri; tiga dari kanan), bersama Team Grays.
A
A
A

KARNIVAL Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020 nyata berada di kelas tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan dalam kalangan bekas pemain kebangsaan di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Antara nama-nama besar yang mewarnai karnival sehari itu adalah Iman Gobinathan dan Keevan Raj yang beraksi di Sukan Olimpik Sydney 2000 turut disertai Robert Alcantra, Hairul Nizam Abdul Rani, Mustaffa Arifin, Abdul Razak Saidin, Mohd Faizal Daud dan Azrul Affendy Bistaman yang juga bekas pemain negara era 1990-an.

Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya amat gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima bagi kejohanan hoki pertama pasca Covid-19 itu.

“Ia satu permulaan yang baik untuk sukan hoki setelah kami berjaya menarik penyertaan 12 pasukan dari Lembah Klang termasuk satu pasukan dari Pulau Pinang. Ia melibatkan keseluruhan 120 pemain yang berusia 40 tahun ke atas.

“Kita percaya ini sebahagian daripada langkah menggalakkan komuniti hoki di Malaysia kembali aktif bersukan setelah sekian lama duduk di rumah ekoran Covid-19 yang mengakibatkan penutupan sektor sukan selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020 yang disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Untuk edisi sulung ini menyaksikan Team Grays dinobatkan juara selepas menewaskan TPCA 4-1 sekali gus membawa pulang RM1,000 bersama piala pusingan serta pingat manakala TPCA membawa pulang RM800 dan pingat.

Dalam aksi final itu, gol Team Grays dijaringkan N Ganesan seawal minit pertama disusuli Keevan Raj (minit keempat), Lester Sta Maria (minit keenam) dan K Ganesh (m-10) manakala gol saguhati TPCA dihasilkan Azrul Affendy Bistaman (minit kelima).

Artikel Berkaitan:

Tempat ketiga pula menjadi milik Hockademy selepas mengatasi Ex Dolphins 5-1 bagi membolehkan pasukan tersebut membawa pulang RM500 bersama pingat manakala lawan mereka membawa pulang RM300.

Sementara itu, Megat D. Shahriman turut berterima kasih kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memainkan peranan penting memastikan kejayaan penganjuran Karnival Hoki Veteran Kuala Lumpur 2020.

“Tanpa kerjasama daripada DBKL mungkin sukar untuk kita jayakan aktiviti hoki ini, pihak mereka telah menyiapkan padang di Stadium Hoki Kuala Lumpur tepat pada masanya selepas melakukan kerja membaik pulih permukaan padang. Sudah tentu kita mahu terus mengekalkan hubungan baik sekian lama antara PHKL dan DBKL untuk pelbagai aktiviti selepas ini,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam edisi sulung ini antaranya MCOBA, Ex-Dolphins, HockeyLah, Hockademy, SMS Old Boys, KEHOF serta Team Grays.

Karnival ini menggunakan peraturan hoki 5 sebelah FIH serta menggunakan format round robin.