KRM cadang tiga Wilayah Persekutuan tanding berasingan

Fahmy Jalil
Fahmy Jalil
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) mencadangkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bertanding sebagai pasukan berlainan di Sukan Malaysia (Sukma), selain had umur diturunkan kepada Bawah 19 tahun.

Naib Presiden KRM, Fahmy Jalil berkata, apabila ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu bertanding secara berasingan, ia akan dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain muda, berbanding bergabung sebagai satu pasukan Wilayah Persekutuan.

“Apa objektif sebenar anjurkan Sukma? Sama ada untuk kejayaan kepada negeri, ataupun sebagai pembangunan melahirkan atlet negara. Jika nak kejayaan, ia menjadi acara untuk raih pingat, atau nak kesinambungan untuk pembangunan pemain negeri?

“Kesemua tiga Wilayah Persekutuan ini mempunyai pasukan masing-masing dengan 12 pemain. Apabila bergabung, mungkin hanya empat pemain daripada setiap pasukan terpilih, manakala lapan pemain lagi tiada peluang ke Sukma,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), semalam.

KRM turut mencadangkan agar had umur maksimum beraksi di Sukma diturunkan daripada 21 tahun ke 19 tahun, supaya wujudnya kesinambungan kepada pemain yang ditempatkan di bawah Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) dari usia 12 hingga 18 tahun.

Dikala ada persatuan yang meminta Majlis Sukan Negara untuk mempertimbangkan meningkatkan had umur kepada 23 tahun, KRM berpendapat pemain berusia 22 tahun ke atas sudah mencapai prestasi di peringkat elit.

Sementara itu, Fahmy yang juga pengarah kejohanan KRM berkata, Stadium Ragbi Johor di Mount Austin, yang merupakan venue Sukma Johor sudah 100 peratus bersedia untuk menganjurkan temasya itu tahun depan.

“Stadium khas ragbi dengan kapasiti 580 orang mempunyai semua fasiliti dan kemudahan, selain saiz padang yang mematuhi semua kriteria, untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa. Kami juga, dengan kerjasama Ragbi Johor bercadang untuk menganjurkan kejohanan peringkat Asia di stadium itu,” jelasnya. -Bernama

Artikel Berkaitan: