Jangan ambil mudah nikmat perpaduan dikecapi

Halimah
Halimah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perpaduan yang teguh antara rakyat Malaysia adalah kejayaan negara yang tidak boleh diambil mudah, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Tegasnya, ia adalah pencapaian dan kejayaan negara yang paling bermakna, justeru, segala usaha, kesedaran dan keinginan untuk melestarikan keharmonian antara rakyat harus terus diperkukuhkan.

Beliau berkata, kekayaan budaya, kepelbagaian bangsa dan warna-warni kehidupan setiap rakyat Malaysia telah membentuk asas dan mencorakkan kemakmuran tanah air.

“Meskipun sambutan Hari Malaysia tahun ini diraikan secara sederhana, namun saya yakin, rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tetap terserlah dengan mengamalkan nilai-nilai yang menyatupadukan.

“Marilah kita sama-sama menyambut Hari Malaysia kali ini dengan penuh bersemangat, semoga ia mengeratkan lagi silaturahim sesama kita. Kesediaan ini tentunya akan mengekalkan sejahtera di bawah payung kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan,di sini hari ini.

Halimah turut berharap, seluruh rakyat Malaysia terus peka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dalam memerangi penularan Covid-19, di samping memelihara nilai-nilai murni dan kesopanan.

Esok, seluruh rakyat negara ini akan menyambut Hari Malaysia 2020 dengan sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak yang akan dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Bernama

Artikel Berkaitan: