Kluster Pulau terbaharu dikesan di Sabah

Selepas dua kluster Covid-19 dikesan di Sabah, KKM mengesan satu lagi kluster baharu iaitu Pulau di negeri itu. - Foto 123RF
Selepas dua kluster Covid-19 dikesan di Sabah, KKM mengesan satu lagi kluster baharu iaitu Pulau di negeri itu. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas dua kluster Covid-19 dikesan di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu Pulau di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, kluster itu bermula apabila seorang wanita warga emas yang merupakan kes indeks ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya di Kunak.

Menurutnya, wanita itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

"Saringan Covid-19 dilakukan dan dia disahkan positif pada Ahad lalu.

"Pesakit itu diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif yang dilakukan KKM mendapati lapan individu turut dijangkiti wabak itu.

"Kesemuanya merupakan ahli keluarga kes indeks," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, seramai 128 individu telah disaring dalam kluster ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia terdiri daripada 109 rakyat tempatan dan 19 warga asing.

"Daripada jumlah itu, sembilan kes dikesan positif, 18 negatif dan 101 masih menunggu keputusan," katanya.

Tambahnya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

"Punca jangkitan masih di dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan," katanya.

Sebelum ini, Sabah merekodkan dua kluster iaitu Benteng LD dan Laut.

Seramai 877 kes dikesan positif Covid-19 di negeri itu.