X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa Syukur pasrah hilang lebih 40 kerbau

Seekor lagi kerbau yang mati dan akan ditanam di kawasan kandang di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu.(Gambar kecil: Khamis)
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun sedih, bapa Muhammad Syukur Khamis pasrah dengan kehilangan lebih 40 ekor kerbau pusaka keluarga yang mati secara tiba-tiba dipercayai akibat serangan wabak Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.

Khamis Jusoh, 64, berkata, dia menyerahkan segalanya kepada takdir, namun akan berusaha untuk menyelamatkan haiwan peliharaannya itu setakat termampu.

“Saya pasrah, saya reda dan bersyukur jika ini ketentuan ALLAH SWT kerana semua yang saya ada hari ini adalah milik Dia. Jika Dia takdirkan untuk ambil kesemuanya, saya perlu bersyukur. Jika ada yang ditinggalkan, pun saya bersyukur.

“Namun, saya masih berharap dan berdoa supaya masih ada yang ditinggalkan walaupun jumlahnya saya tak pasti kerana kerbau yang saya pelihara sekarang ini adalah kerbau dari keturunan (kerbau pusaka) peninggalan ayah saya yang dipelihara sejak kecil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kandang kerbau miliknya di Kampung Banggol Katong, Serada di sini hari ini.

Khamis berkata, kehilangan kali ini merupakan yang terbesar dan pertama kali dilalui sepanjang 50 tahun memelihara kerbau.

“Kalau boleh saya katakan ia ibarat ‘tsunami’ bagi saya. Ia datang secara tiba-tiba dan mati serentak.

“Saya tak dapat gambarkan apabila kerbau yang nampak sihat hari ini, keesokannya saya mati bergelimpangan hingga ada yang mati tersangkut pada pokok. Namun, saya pasrah, saya bersyukur. Ini adalah ujian daripada ALLAH SWT,” katanya.

Sebahagian daripada kerbau yang mati dan bersedia untuk ditanam sempat dirakam semalam. - Foto FB Syukor Khamis-Kampong Boy
Sebahagian daripada kerbau yang mati dan bersedia untuk ditanam sempat dirakam semalam. - Foto FB Syukor Khamis-Kampong Boy

Menurut Khamis, dia berasa lega kerana anaknya, Muhammad Syukur, 15, yang lebih dikenali dengan jolokan Mowgli Malaysia nampak tenang dan boleh menerima keadaan itu.

“Saya sebenarnya risaukan Syukur sebab dia lebih rapat dengan kerbau-kerbau ini sejak kecil dia membesar bersama kerbau di kawasan kandang ini. Saya bimbang dia tidak boleh terima apa yang berlaku. Namun saya berasa lega kerana saya nampak dia tenang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak

Khamis berkata, dia turut memohon doa daripada orang ramai terutama yang mengenali Syukur supaya sebahagian daripada kerbau itu boleh diselamatkan.

“Setakat ini dalam peliharaan saya ada lebih kurang 100 ekor kerbau. Yang mati setakat hari ini dalam 41 ekor yang ditemui bangkai. Ada sebuah tempat lagi saya dapat tahu ada dua bangkai kerbau yang kita sedang usahakan untuk segera tanam.

“Saya harapkan doa daripada semua. Saya sekeluarga pun turut membuat solat hajat dan tidak putus berdoa agar ada antara kerbau peliharaan ini dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syukur berkata, ini merupakan kehilangan terbesar yang pernah dialami sepanjang beliau membesar bersama ‘rakan-rakannya’ itu di kandang tersebut.

“Sebelum ini, kalau musim tengkujuh ada dalam seekor dua kerbau yang demam dan mati. Kali ini berpuluh ekor yang mati serentak.

“Saya pun tak mampu nak kata apa. Saya reda dengan ketentuan ini dan berharap agar semua pihak dapat mendoakan yang terbaik semoga ada kerbau yang boleh diselamatkan,” katanya.

Menurut Syukur, setakat hari ini lima ekor kerbau lagi dilihat mempunyai tanda penyakit HS dan berkemungkinan akan mati.

"Lima kerbau ini macam tidak aktif, selesema dan lesu. Ada juga yang menunggu masa untuk mati. Setakat hari ini, kerbau yang agak rapat dengan saya iaitu Tongkol, Baba, Semek dan Along nampaknya masih sihat dan tidak ada simptom wabak itu.

“Saya juga sudah alihkan kerbau itu jauh sikit daripada kawanan kerbau yang lain iaitu kira-kira 30 meter daripada kandang utama untuk mengelak jangkitan wabak," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!