Hartanah di Australia: SPRM dijangka dakwa beberapa individu

Azam hadir pada Program Forum Tanggungjawab Korporat: Adakah Anda Berisiko? hari ini. - Foto: Bernama
Azam hadir pada Program Forum Tanggungjawab Korporat: Adakah Anda Berisiko? hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa beberapa individu berhubung kes pembelian hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya telah berbincang dengan timbalan pendakwa raya bagi melihat pertuduhan-pertuduhan yang boleh dikenakan di bawah undang-undang ke atas individu tertentu berdasarkan bukti dan keterangan yang bakal diperoleh daripada Australian Federal Police (AFP).

“Jika undang-undang membolehkan kami mendakwa mereka, maka kami akan mendakwa individu-individu tertentu untuk kes Mara.

Baru-baru ini, dilaporkan beberapa orang telah dituduh (di Australia) oleh AFP. Beberapa keterangan yang kita nak di sana (Australia) mungkin akan diperoleh secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Korporat Liabiliti di sini hari ini.

Azam berkata, siasatan SPRM terhadap kes ini telah selesai di peringkat domestik dan pihaknya sudah beberapa kali memberi jawapan di Parlimen.

Azam (tengah) beramah mesra bersama Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan (kanan) dan Wakil Negara USAID Shane Perkinson (kiri) pada Program Forum Tanggungjawab Korporat: Adakah Anda Berisiko? hari ini.
Foto: Bernama
Azam (tengah) beramah mesra bersama Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan (kanan) dan Wakil Negara USAID Shane Perkinson (kiri) pada Program Forum Tanggungjawab Korporat: Adakah Anda Berisiko? hari ini. Foto: Bernama

Apabila ditanya adakah SPRM telah bertemu dengan tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kes terbabit, beliau enggan mengulas lanjut.

Pada 2015, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Sementara itu Azam berkata, tiada aduan atau kes diterima berhubung rasuah dan salah guna kuasa sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat ini.

Mengulas mengenai perkembangan lanjut isu 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Azam berkata pihaknya masih belum membuka sebarang kertas siasatan mengenainya.- Bernama