X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket bekal kad sim untuk kegiatan penipuan tumpas

Zainuddin menunjukkan barangan yang telah dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pembekal kad sim pradaftar untuk kegiatan penipuan dengan memberkas sembilan individu termasuk seorang wanita warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kesemua individu berusia 40 hingga 56 tahun itu dipercayai bergiat aktif menjalankan aktiviti jenayah itu sejak setahun lalu.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di Negeri Sembilan dan Lembah Klang, sejak Jumaat hingga Ahad lalu.

"Hasil siasatan, kita mendapati sindiket ini mendaftarkan kad sim prabayar dengan identiti warga asing dan warga tempatan untuk kegiatan jenayah.

"Mereka juga memberi perkhidmatan panggilan telefon luar negara secara haram tanpa menggunakan 'gateway' syarikat telekomunikasi dan menjual kad sim itu kepada sindiket penipuan lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Zainuddin berkata, polis turut merampas sebanyak 36,500 kad sim, 120 pendaftar induk kad sim, 28 'sim multiplexers', enam komputer, dua router dan wang tunai RM14,997 dalam serbuan itu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, 17 telefon bimbit, sebuah CPU, empat kad kredit dan tujuh buku cek," katanya.

Menurutnya, pihaknya menemui kira-kira 10,000 imej pasport warga asing dan 313 imej salinan kad pengenalan warga tempatan dalam CPU komputer untuk tujuan pendaftaran kad sim prabayar.

"Kad sim itu kemudian dijual di pasaran dengan harga RM15 hingga RM17 setiap satu kad sim. Kad sim tersebut diaktifkan dengan menggunakan 'ID dealer' yang disyaki bersekongkol dengan sindiket ini," katanya.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu ialah mereka akan menghubungi mangsa menggunakan talian yang didaftar atas nama orang lain.

"Sindiket akan menukar kad sim lain selepas melakukan jenayah, ia menyukarkan usaha polis untuk mengesan serta mengenalpasti ahli sindiket penipuan," katanya.

Zainuddin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila membuat sebarang urusan jual beli atau pinjaman secara atas talian dengan individu yang tidak dikenali.

"Jangan mudah percaya dengan iklan-iklan promosi atau pinjaman di media sosial," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!