X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Sah wujud kes sporadik di Sabah

DR NOOR HISHAM. Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan wujud kes sporadik Covid-19 di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selepas beberapa kes saringan di di klinik kesihatan dan hospital dikesan positif Covid-19.

"Memang di Lahad Datu, Tawau dan hari ini, Kunak ada kes sporadik," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, masyarakat perlu mengelakkan diri daripada dijangkiti oleh Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Untuk makluman semua, virus sudah pun ada dalam masyarakat, apa yang perlu kita lakukan, elakkan dari dijangkiti," katanya.

Kes sporadik merupakan kes positif yang melibatkan individu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat berisiko tinggi dan tidak mempunyai sebarang kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Beliau berkata, KKM masih menjalankan tindakan kesihatan awam bagi mengesan individu yang terdedah dengan kes positif.

"Kalau dapat jalankan di lapangan dengan cepat, kita dapat mencegah jangkitan," katanya.

Bagaimanapun katanya, ia (pengecegahan penularan kes) bergantung kepada rakyat di Sabah yang perlu mematuhi SOP.

"Petugas hadapan juga perlu patuh kepada SOP dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE), jika tidak bermulalah jangkitan dalam komuniti," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, KKM telah bersedia untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 secara besar besaran di Tawau, Lahad Datu dan Kunak.

"Kita anggar seramai 20,000 individu akan disaring dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, selepas pihak berkuasa (tentera dan polis) memperketat lagi kawalan sempadan, KKM akan menjalankan saringan kesihatan dalam komuniti.

"Kita juga akan kenal pasti kawasan tertentu, contohnya kampung dan lokaliti.

"Sekiranya di lokaliti itu mempunyai kes positif yang tinggi, tindakan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, akan diambil,” katanya.

Mengulas mengenai dua pusat berisiko rendah di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, ia akan beroperasi dalam masa terdekat.

"Kita melihat kepada keupayaan hospital dan klinik, sekiranya berlaku pertambahan kes barulah pusat berisiko rendah akan digunakan.

"Ia akan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!