Ikan mabuk: Penternak agih ikan secara percuma

Mohd Yaacob melihat keadaan ikan ternakan sangkarnya yang kosong selepas diagihkan kepada penduduk di Parit Gabis, Bagan Serai hari ini. Foto: Ihsan pembaca
Mohd Yaacob melihat keadaan ikan ternakan sangkarnya yang kosong selepas diagihkan kepada penduduk di Parit Gabis, Bagan Serai hari ini. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang penternak ikan air tawar mengambil keputusan untuk mengagihkan ribuan ikan ternakannya secara percuma kepada penduduk kampung di Parit Gabis di sini semalam.

Mohd Yaacob Abdul Hamid, 55, berkata, tindakan itu dibuat selepas mengalami kerugian lebih RM40,000 apabila ternakannya mula mati dipercayai akibat kekurangan oksigen.

Menurutnya, ternakan itu melibatkan ikan talapia merah, puyu siam, lampan dan baung yang diusahakan sejak 10 tahun lalu.

"Kejadian ini disedari ketika mahu memberi makan ikan tersebut pada pagi semalam. Saya terkejut apabila melihat ikan-ikan dalam keadaan 'mabuk' dan terapung di permukaan air.

"Paling teruk terjejas adalah sangkar ikan baung, lampan dan anak ikan talapia merah. Ia mungkin disebabkan oleh kekurangan oksigen kerana air yang cetek selain pintu utama air dari tali air ke parit ditutup untuk kerja-kerja naik taraf," katanya di sini hari ini.

Tular di Facebook lambakan ikan akibat fenomena ikan mabuk akibat kekurangan oksigen.
Tular di Facebook lambakan ikan akibat fenomena ikan mabuk akibat kekurangan oksigen.

Mohd Yaacob berkata, semua ikan yang diternak di parit berhampiran rumahnya itu adalah untuk pasaran tempatan dan kegunaan sendiri.

"Ikan baung sahaja biasanya dijual dengan harga RM25 sekilogram itu ada yang mabuk dan ada sudah mati.

Artikel Berkaitan:

"Kerugian ini tidak termasuk ikan lampan dan anak ikan talapia merah yang dianggarkan kira-kira 600 kg. Ini kejadian pertama sejak saya mula mengusahakannya," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook berkaitan lambakan ikan air tawar disebabkan fenomena ikan 'mabuk' di sini.