1MDB hutang AS$3 bilion untuk perjalanan pilihan raya, kata saksi

Mohd Hazem Abdul Rahman - Foto sumber internet
Mohd Hazem Abdul Rahman - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah RM2.3 bilion membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa 1MDB menanggung hutang sehingga AS$3 bilion bagi perjalanan pilihan raya dan pembayaran hutang syarikat.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, saksi berusia 47 tahun itu berkata, wang bon berkenaan digunakan untuk pembelian tanah di Ayer ltam, Pulau Pinang.

Beliau berkata, ia sebagai satu inisiatif UMNO semasa berkempen untuk pilihan raya yang mana ia disahkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ceramah beliau.

“Datuk Seri Najib kata, tanah yang dibeli itu akan dimajukan oleh 1MDB untuk membina rumah mampu milik di Ayer ltam, Pulau Pinang.

“Jho Low memberitahu saya, dana ini perlu dipercepatkan kerana ia akan digunakan untuk pilihan raya dan membayar pinjaman Standard Chartered yang dipinjam untuk membiayai pelaburan Petro Saudi,” katanya.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengenai perkara tersebut, Mohd Hazem berkata, beliau mempunyai pengetahuan peribadi mengenai isu berkenaan.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam mewakili Najib diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan bersambung lusa.