Covid-19: 23 kes baharu termasuk 13 di Sabah

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto: Bernama
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 23 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 13 kes penularan dalam negara yang dikesan di Sabah.

"Ia melibatkan 10 rakyat tempatan dan tiga warga asing," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, sebanyak lapan kes dikesan daripada Kluster Pulau.

"Empat kes daripada Kluster Benteng dan satu kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau," katanya.

Bagi 10 kes import, Dr Noor Hisham berkata, empat kes dikesan mendapat jangkitan dari Filipina dan masing-masing satu kes pulang dari Hungry, Turki, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 9,969 kes dengan 632 kes aktif," katanya.

Beliau berkata, terdapat 14 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk empat memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

"Kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 128 kes selepas tiada kes baharu dilaporkan," katanya.

Katanya, seramai enam kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Keseluruhan kes pulih adalah 9,209 kes iaitu bersamaan 92.4 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KKM telah melakukan saringan terhadap 15,000 individu daripada 10 mukim di daerah Kota Setar yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

"Ia meliputi Mukim Pumpong, Alor Merah, Alor Malai, Derga, Kuaal Kedah, Pengkalan Kundor, Kota Setar, Langgar, Titi Gajah dan Mergong.

"Bagi PKPD di Amanjaya, seramai 13,591 penduduk disaring setakat ini melibatkan 13,526 warganegara dan 65 warga asing," katanya.