Lolos diri tinggal syabu bernilai RM23.4 juta

Shafien (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan teh Cina yang mengandungi dadah jenis syabu yang dirampas.
Shafien (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan teh Cina yang mengandungi dadah jenis syabu yang dirampas.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan penguat kuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan melepaskan satu das tembakan selepas dihalang tonto ketika usaha menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu ahli sindiket penyeludupan dadah di Teluk Jering di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, kesemua suspek meloloskan diri sebelum dadah jenis syabu seberat 584 kilogram (kg) bernilai RM23.4 juta dalam bungkusan teh Cina ditemui dalam kenderaan pacuan empat roda itu yang ditinggalkan berhampiran hutan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pasukan AKSEM yang melakukan rondaan bertindak mengekori sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

”Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek memecut kenderaan.

“Pada masa sama sebuah kereta Proton Satria Neo dipercayai dipandu tonto memotong kenderaan AKSEM dan menghalang anggota keselamatan menyebabkan satu das tembakan ke udara dilepaskan sebagai tanda amaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

Beliau berkata, AKSEM terus mengejar dua kenderaan berkenaan sehingga sejauh 10 kilometer sebelum Mitsubishi Triton dan Proton Satria Neo itu menyelinap ke kawasan hutan dan kemudian hilang.

Shafien pada sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini.
Shafien pada sidang akhbar di IPD Tumpat hari ini.

“Usaha mencari dilakukan di lokasi sekitar, namun gagal sebelum anggota kereta peronda polis (MPV) IPD Tumpat menerima maklumat awam pada jam 7 petang hari sama memberitahu Mitsubishi Triton tersebut berada berhampiran hutan Kampung Cherang Melintang, Tumpat.

Artikel Berkaitan:

“Dua anggota MPV ke lokasi dan menjumpai guni di tempat letak barang bahagian belakang kenderaan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati guni berkenaan berisi bungkusan teh Cina yang mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 584 kilogram (kg) bernilai RM23.4 juta.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai bertujuan untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

"Semakan mendapati pemilik kenderaan beralamat di Perak dan kini polis sedang memburu pemilik kenderaan itu serta kumpulan sindiket terlibat untuk membantu siasatan.

“Pemandu Mitsubishi Triton juga tidak dapat dikenalpasti kerana cermin gelap, manakala Proton Satria Neo pula sengaja dicabut nombor pendaftarannya,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan akibat menghalang tugas penjawat awam.

“Penemuan dadah jutaan ringgit itu membuktikan keberkesanan penugasan kawalan di sempadan dan kejayaan dalam usaha sama antara PDRM dengan agensi lain merangkumi AKSEM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan sebagainya yang bertugas mengawal sempadan dari ancaman serta pembolosan gejala penyeludupan,” katanya.