UUM tangguh kemasukan pelajar

Hendrik Lamsali
Hendrik Lamsali
A
A
A

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) mengumumkan penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus terbabit susulan penularan Covid-19 di negeri Kedah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, penangguhan itu melibatkan kemasukan pelajar baharu semester pertama sesi 2020/2021 dan pelajar lama semester sesi 2020/2021.

Beliau berkata, keputusan itu diambil setelah mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berkaitan perkara di atas.

"Pihak pengurusan prihatin mengenai keselamatan para pelajar dan amat cakna dengan perkembangan semasa di negeri Kedah.

"Justeru itu, pihak pengurusan universiti menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu secara fizikal pada 5 hingga 6 Oktober ke tarikh baharu iaitu 23 hingga 24 Oktober 2020 mengikut sesi yang telah ditetapkan.

"Bagaimanapun proses minggu suaikenal pelajar baharu pada 7 hingga 8 Oktober berjalan seperti biasa secara atas talian mengikut jadual program yang telah ditetapkan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Hendrik berkata, bagi pelajar lama semester sesi 2020/2021, pendaftaran kemasukan pelajar lama secara fizikal pada 9 hingga 11 Oktober ditangguhkan ke 29 hingga 31 Oktober depan.

"Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pula akan berjalan seperti biasa secara atas talian bermula pada 11 Oktober 2020," katanya.

Artikel Berkaitan: