Bayaran elaun ketua kampung masih diteruskan

Samsolbari
Samsolbari
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bayaran elaun kepada 667 ketua kampung lantikan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini akan diteruskan kerajaan negeri sehingga kontrak mereka tamat Disember tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, tiada cadangan untuk menamatkan bayaran elaun ketua kampung ketika ini.

Jelasnya, apa yang berlaku hanyalah salah faham berikutan terdapat segelintir ketua kampung yang lewat menerima bayaran elaun tetapi ada dalam kalangan mereka sudah dibayar elaun.

"Kerajaan negeri Johor tidak pernah bercadang untuk menamatkan bayaran elaun RM400 ketua kampung yang masih berkhidmat.

"Malah, Bahagian Kewangan Johor juga menyatakan bayaran elaun masih dibuat seperti biasa mengikut kontrak lantikan dengan yang belum dibayar akan dibayar dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya tentang lantikan ketua kampung baharu, jelasnya ketua kampung sedia ada yang masih berminat untuk berkhimat boleh memohon ke Pejabat Daerah bagi menjalani proses temuduga.

"Setakat ini seramai 84 ketua kampung baharu sudah dilantik dengan ada kawasan yang masih kekalkan ketua kampung terdahulu," katanya.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Gabungan Persatuan Ketua-Ketua Negeri Johor (GPKKJ), Lt Kol (B) Ismail Suarno meluahkan rasa kesal kerana mendakwa seramai 667 ketua kampung negeri ini yang dilantik kerajaan PH tidak dibayar sejak bulan lalu walaupun kontrak perjawatan mereka tamat Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 667 ketua kampung kesal elaun ditamatkan awal

Artikel Berkaitan: