X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan pinggir bekas penagih dadah: MB Kelantan

Ahmad Yakob (kanan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
A
A

KOTA BHARU - Masyarakat diminta tidak meminggirkan bekas penagih dadah dan individu yang sedang menjalani rawatan untuk berubah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang terjebak najis dadah untuk terus istiqamah berubah kembali ke pangkal jalan.

"Masyarakat seharusnya menerima penagih yang telah pulih sebab mereka mempunyai masalah. Jadi kita mesti memahami mereka sepertimana orang biasa.

"Ada sesetengah itu mereka mengasingkan diri daripada aktiviti-aktiviti masyarakat. Mereka tidak hadir di majlis-majlis dan sebagainya.

"Dari segi psikologinya kita perlu melihat bahawa mereka ini sebagai keluarga dan masyarakat yang perlu kita selamatkan. Peranan masyarakat itu sangat penting," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil agensi yang berkaitan.

Mengulas mengenai mesyuarat MTMD tersebut, Ahmad memberitahu antara intipati perbincangannya adalah melibatkan asas rawatan dan pemulihan kepada bekas penagih dadah.

Beliau berkata, satu kajian dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut diadakan bagi mendapatkan input mengenai punca anak-anak Melayu terjebak dadah.

"Kajian tersebut melibatkan tempoh tiga tahun dan melalui tujuh peringkat. Jadi kita menyokong kajian ini.

"Mungkin sebabnya (terjebak dadah) adalah kerana rumah tangga, penceraian, tiada ilmu, dekat sempadan Thailand. Sebab kita bukan pengeluar, maka kita buat kajian ini memandangkan 90 peratus rakyat Kelantan adalah Melayu," katanya.

Katanya, dapatan daripada kajian berkenaan akan membantu kerajaan negeri, agensi serta jabatan yang terlibat untuk menganjurkan program berkaitan.

"Antara kesan yang kita takut ialah bukan sahaja membahayakan diri dia, malah penagih ini akan menyeksa isteri dan keluarga mereka, melakukan kekerasan dan sebagainya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!