Keluarkan nama dari senarai, pegawai AADK didakwa cuba terima rasuah

Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan cuba memperoleh rasuah sebanyak RM500 daripada seorang lelaki pada tahun lalu.

Tertuduh, G Dayalan, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Dayalan didakwa secara rasuah cuba memperoleh wang bernilai RM500 daripada Eng Boon Keong sebagai dorongan untuk mengeluarkan nama lelaki tersebut daripada senarai orang yang dikehendaki AADK.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Restoran Insaf Cemerlang di sini kira-kira jam 1 petang pada 16 Februari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dengan denda lima kali ganda nilai suapan atau mengikut mana-mana lebih tinggi atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan wang ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dayalan yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah menurunkan nilai wang jaminan kerana mempunyai tanggungan anak di kolej serta perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Siti Aminah menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.