Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak

Muhammad Syukur (kanan) bersama anggota kesihatan melihat keadaan salah seekor kerbau yang dijangkiti hawar berdarah di kawasan kandang di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.
Muhammad Syukur (kanan) bersama anggota kesihatan melihat keadaan salah seekor kerbau yang dijangkiti hawar berdarah di kawasan kandang di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kandang kerbau peliharaan Muhammad Syukur Khamis,15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ di Kampung Banggol Katong, Serada di sini ditutup kepada orang ramai bagi mengelak penularan wabak Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah ke kawasan lain.

Hari ini lima lagi kerbau peliharaan Muhammad Syukur mati menjadikan keseluruhan ternakan yang mati sebanyak 41 ekor.

Penutupan pintu masuk ke kawasan kandang itu dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu di kawasan berkenaan sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, tindakan itu dilakukan di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) Kawalan Penyakit bagi mengehadkan kemasukan orang awam ke kawasan kandang seterusnya mengelakkan penularan wabak.

“Kita harap dengan langkah ini dapat mengelakkan orang ramai daripada berkunjung ke kawasan ini seterusnya dapat memastikan keselamatan awam terjamin dan wabak hawar berdarah ini tidak merebak ke kawasan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

“Di kandang kerbau itu banyak bakteria HS. Kita khuatir sesiapa yang datang ke situ kemudian ke tempat lain boleh menyebabkan penularan wabak di kawasan lain pula. Kita harap orang ramai terutama penternak lain dapat memberikan kerjasama dengan tidak memasuki kawasan kandang kerbau itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota penguat kuasa JPV Terengganu menutup pintu masuk ke kandang kerbau peliharaan Muhammad Syukur dan bapanya, Khamis di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.
Anggota penguat kuasa JPV Terengganu menutup pintu masuk ke kandang kerbau peliharaan Muhammad Syukur dan bapanya, Khamis di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.

Beliau berkata, penyakit HS cepat merebak sekiranya tidak dikawal dan dibimbangi ternakan penternak berhampiran akan diserang penyakit sama.

“Bukan semua ternakan dijangkiti HS terus mati kerana ia bergantung kepada antibodi ternakan juga.

"Ternakan yang mempunyai antibodi yang kuat akan mengambil masa untuk mati tetapi tetap pembawa penyakit HS dan boleh menjangkiti ternakan lain," katanya.

Mohd Termizi juga berharap penternak tidak memindahkan ternakan dari kawasan yang mempunyai kes HS ke kawasan lain dalam tempoh terdekat.

"Sekarang sudah terlewat jika ingin memindahkan ternakan ke kawasan lain kerana dibimbangi ternakan itu sudah menghidap HS. Sebab itu kita minta semua penternak supaya tidak memindahkan ternakan ke kawasan lain.

“Kita harap semua penternak yang haiwan ternakannya mempunyai gejala HS bertindak mengurung ternakan di kandang ternak masing-masing dan hadkan kedatangan orang luar ke kawasan kandang," katanya.

Katanya, pihak JPV juga akan mengumpul penduduk setempat termasuk penternak lain di kawasan Kampung Banggol Katong untuk memberi taklimat mengenai wabak yang menyerang haiwan ternakan itu.

Sementara itu, pemilik kerbau, Khamis Jusoh, 64, berkata, dia akur dengan arahan supaya kawasan kandang kerbaunya ditutup daripada dikunjungi orang ramai dan akan memaklumkan bahawa kawasan itu tidak boleh dikunjungi buat masa ini.

“Ada ramai yang menelefon bertanya untuk datang melihat keadaan kerbau, saya terpaksa maklumkan buat masa ini tidak boleh menerima kunjungan di kawasan kandang ini bagi mengelak wabak.

Antara notis yang ditampal pada pintu masuk kandang kerbau di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.
Antara notis yang ditampal pada pintu masuk kandang kerbau di Kampung Banggol Katong, Serada hari ini.

“Saya harap mereka faham keadaan yang dilalui buat masa ini kerana langkah yang diambil ini adalah untuk kebaikan semua,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan kira-kira 36 ekor daripada 110 kerbau peliharaan Muhammad Syukur mati secara tiba-tiba kerana diserang HS atau hawar berdarah yang dikesan sejak Rabu lalu.

Kes hawar berdarah mula dikesan di Kampung Tumang Jerong, Marang pada 9 Ogos lalu membabitkan kematian 22 kerbau dan 15 lembu di mana kematian terakhir berlaku pada 28 Ogos lalu, sebelum kes kematian melibatkan tujuh kerbau milik seorang penternak di Kampung Banggol Peradong pada 12 September lalu.

Berdasarkan laporan, JPV telah memulakan pemvaksinan HS pada 30 Ogos ke atas 675 lembu dan 58 kerbau milik 106 penternak di 12 kampung.