PCB didakwa bakal bankrap

Hamidah (dua dari kiri) menunjukkan laporan kewangan PCB yang dikemukakan dalam sidang media di Pejabat Putra Negeri Perak, Bandar Sunway Ipoh, di sini hari ini.
Hamidah (dua dari kiri) menunjukkan laporan kewangan PCB yang dikemukakan dalam sidang media di Pejabat Putra Negeri Perak, Bandar Sunway Ipoh, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Anak syarikat milik kerajaan Perak, Perak Corporation Berhad (PCB) didakwa berdepan tindakan bankrap dan bakal kehilangan aset penting berikutan beban hutang dialami syarikat terbabit.

Pengerusi Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, berdasarkan laporan kewangan syarikat berkenaan pada 2019, jumlah liabiliti ditanggung iaitu RM751 juta melebihi aset yang sedia ada yang berjumlah RM742 juta.

Menurutnya, liabiliti dihadapi PCB itu berikutan kegagalan membayar pinjaman bank RM520 juta yang dibuat untuk membiayai pembangunan serta operasi Taman Tema Studio Animasi (MAPS) sebelum ini.

"Perkara ini bukanlah sesuatu yang rahsia kerana perkembangan PCB itu boleh diakses menerusi laman web Bursa Malaysia. Cuma peliknya tiada sesiapa yang nak menyuarakan kebimbangan tentang apa yang berlaku terhadap PCB.

"Keadaan ini amat merisaukan dan disebabkan itu Putra terpanggil untuk mendedahkan keadaan ini kerana aset-aset milik syarikat ini termasuklah Casuarina dan Lumut Port akan dijual untuk membayar liabiliti tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Putra Negeri Perak, Bandar Sunway Ipoh di sini hari ini.

Hamidah berkata, PCB turut melepasi kriteria Perenggan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) disebabkan keadaan yang dihadapi tersebut.

Katanya, situasi yang dihadapi anak syarikat kerajaan negeri itu tidak pernah dibincangkan ke dalam Sidang Dewan Negeri sedangkan perkara berkenaan amat penting kerana melibatkan aset strategik kerajaan.

Beliau berkata, selama ini isu yang dibangkitkan hanyalah masalah hutang dihadapi MAPS sedangkan perkara utama adalah kerajaan Perak bakal kehilangan PCB.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamidah menggesa supaya kerajaan Persekutuan campur tangan dalam menyelesaikan isu berkenaan dengan sekurang-kurangnya memastikan Lumut Port tidak dijual kepada pelabur asing.

"Lumut Port ini merupakan aset paling penting untuk ekonomi dan keselamatan negara. Jika aset lain tidak dapat diselamatkan, kita sangat berharap agar kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan dapat membeli Lumut Port ini.

"Saya nampak PCB ini sukar untuk diselamatkan kerana syarikat tersebut perlu meminjam kira-kira RM750 juta untuk membayar hutang-hutang ini dan memerlukan RM10 bilion bagi memastikan syarikat tersebut boleh menjalankan perniagaan seperti biasa," katanya.

Menurutnya, perkara itu amat mustahil untuk diperoleh walaupun usaha dilakukan dengan menukar ahli lembaga pengarah dan pengurusan PCB kerana jumlah liabiliti yang begitu besar.