Bukan sebab pemandu mabuk!

Video Toyota Hilux dipandu seorang lelaki yang masuk ke dalam longkang tular di laman sosial hari ini. - Foto ihsan pembaca
Video Toyota Hilux dipandu seorang lelaki yang masuk ke dalam longkang tular di laman sosial hari ini. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menafikan kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda terbabas masuk ke dalam longkang yang videonya tular di laman sosial hari ini adalah disebabkan pemandunya mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, siasatan mendapati pemandu Toyota Hilux putih itu tidak memandu dalam keadaan mabuk seperti didakwa dalam kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi.

Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan lelaki tempatan berusia 26 tahun itu mabuk kerana hasil ujian alkohol mendapati pemandu itu bebas daripada pengaruh minuman keras selain memberi kerjasama sepanjang siasatan.

"Siasatan awal mendapati pemandu itu merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) kategori penglihatan kerana sebelah matanya tidak nampak dan kakinya pula tidak sempurna.

"Jika dilihat melalui video yang ditularkan memang nampak seperti dalam keadaan mabuk, tetapi sebenarnya dia pening kesan terhantuk selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abd Razak sehubungan itu berkata, orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkenaan.

Hari ini, video berdurasi 57 saat menunjukkan pacuan empat roda terbabit terbabas masuk ke dalam longkang dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Bukit Kecil di sini.

Selepas kemalangan itu, kelihatan seorang lelaki berbaju putih seperti dalam keadaan mabuk berlegar-legar berhampiran kenderaannya itu.

Artikel Berkaitan: