Elaun petugas, AJK masjid dikembalikan semula

Surat yang dikekuarkan JAIS sebelum ini tular di media sosial. Gambar kiri: Amirudin Shari
Surat yang dikekuarkan JAIS sebelum ini tular di media sosial. Gambar kiri: Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengambil keputusan mengembalikan semula kadar elaun petugas dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid serta surau di seluruh negeri ini kepada kadar sedia ada.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya telah menerima taklimat daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berhubung isu pelarasan elaun petugas masjid yang tular sebelum ini.

Amirudin berkata, pihaknya difahamkan bahawa elaun tambahan petugas masjid yang dibayar bermula tahun 2003 lalu adalah daripada hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun.

"Namun akibat kesan pandemik koronavirus (Covid-19), kutipan zakat tahun ini mencatatkan penurunan drastik hampir 20 peratus yang menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat.

"Ia juga dengan mengambil kira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat ini kepada golongan asnaf yang dihimpit akibat kesan pelaksanaan PKP dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, satu surat makluman dikeluarkan oleh JAIS kepada seluruh AJK masjid dan surau di Selangor tular di media sosial.

Menerusi surat itu, JAIS memaklumkan mengenai pemotongan kadar elaun berkenaan dengan mengambil kira penyelarasan bajet dibuat oleh LZS.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor juga akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan penjelasan dan mengambil maklum keperluan para petugas masjid dan surau seluruh Selangor, kerajaan negeri telah mengambil keputusan agar kadar elaun petugas masjid dan surau dikembalikan semula," katanya.