Lawatan PM ke Pulau Pangkor beri impak positif

Muhyiddin (tengah) bergambar bersama Jebasingam (tiga dari kiri) ketika membuat lawatan di Jeti Pangkor sempena lawatan kerja beliau hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (tengah) bergambar bersama Jebasingam (tiga dari kiri) ketika membuat lawatan di Jeti Pangkor sempena lawatan kerja beliau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LUMUT - Lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Pulau Pangkor hari ini bakal memberi impak positif dalam usaha pembangunan jangka masa panjang pulau bebas cukai itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, dalam konteks prasarana contohnya, cadangan yang dikemukakan sebelum ini terutama untuk menaik taraf jeti utama dan penambahan perkhidmatan feri dapat disegerakan bagi menampung kehadiran pelancong yang semakin meningkat.

Menurutnya, pada masa kini, kemasukan pelancong dalam satu-satu masa ke pulau peranginan itu boleh mencapai 30,000 hingga 50,000 orang terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

"Kalau kita lihat dari segi saiz jeti utama di sini terlalu kecil, tidak mampu menampung jumlah kehadiran pelancong yang ramai.

"Saya difahamkan pihak kerajaan sudahpun meluluskan peruntukan untuk pembesaran jeti ini dan atas faktor itu ia perlu disegerakan supaya kita dapat menyediakan laluan keluar masuk yang lebih selesa," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Muhyiddin (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A Hasan (kanan) ketika membuat lawatan di Jeti Pangkor sempena lawatan kerja hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A Hasan (kanan) ketika membuat lawatan di Jeti Pangkor sempena lawatan kerja hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata, bagi memastikan sistem pengangkutan yang efisen, pihaknya ada mengemukakan cadangan untuk menambah perkhidmatan feri ke Pangkor.

"Cadangan sudah dikemukakan kepada pihak Prasarana untuk menambah sekurang-kurangnya 10 lagi perkhidmatan feri di jeti utama dan ini juga satu isu mustahak yang perlu diberi perhatian segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Muhyiddin memulakan lawatan kerjanya ke Pulau Pangkor dengan meninjau Terminal Jeti Penumpang Pulau Pangkor iaitu jeti utama yang menghubungkan pulau bebas cukai berkenaan dengan tanah besar.

Beliau tiba di pulau itu pada sekitar jam 9.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit di situ termasuk mendengar taklimat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai cadangan pembangunan dan menambah baik jeti.

Muhyiddin kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Dalam mesyuarat itu, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John membentangkan Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang kemudian akan diserahkan kepada Menteri Besar Perak, Kedah, Perlis dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

SDP merupakan rangka kerja yang mantap dan strategik yang menggabungkan situasi semasa di negeri-negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menangani impak pandemik koronavirus (Covid-19).

Muhyiddin turut meluangkan masa berinteraksi secara maya menerusi panggilan video dengan dua usahawan NCER yang berjaya masing-masing seorang dari Pendang, Kedah dan Kangar, Perlis.

Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 di Pulau Pangkor hari ini.
 - Foto Bernama
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 di Pulau Pangkor hari ini.
 - Foto Bernama

Bersesuaian dengan lawatan sulung ke Pulau Pangkor, Muhyiddin meluangkan masa melawat tiga usahawan NCER iaitu Ismail Arshad yang mengusahakan minyak dan air gamat; Mohd Arshad Yusop, pengusaha kraftangan ikan buntal atau dikenali sebagai Alang & Angry Fish di Kampung Telok Gedong dan pengusaha hasil perikanan Rasid Ibrahim yang memiliki perniagaan Sate Ikan Paksu Enterprise.

Beliau juga singgah untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Khairiah atau dikenali sebagai Masjid Seribu Doa di Kampung Sungai Pinang yang dibina berkonsepkan senibina Cina dan nusantara.

Pulau Pangkor yang merupakan destinasi pelancongan terkemuka di Perak telah diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai berkuat kuasa 1 Januari lalu.