Pejabat pasukan keselamatan perlu dibina di Kawang

Janrywine (dua dari kanan) ketika meninjau kawasan terjejas banjir sekitar pekan Kinarut pagi tadi.
Janrywine (dua dari kanan) ketika meninjau kawasan terjejas banjir sekitar pekan Kinarut pagi tadi.
A
A
A

PAPAR - Penyanyi tempatan Sabah yang terkenal dengan lagu 'Macam Di KK', Janrywine J Lusin mahu beberapa buah pejabat pasukan keselamatan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang bagi memastikan tahap keselamatan penduduk sentiasa terjamin dan terjaga.

Beliau yang juga calon Parti Liberal Demokratik (LDP) bagi DUN Kawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berkata, pejabat pasukan keselamatan perlu dibina di kawasan itu agar dapat memberi respons bantuan segera kepada rakyat sekiranya ditimpa bencana.

"Ini adalah antara keperluan penduduk yang akan saya utamakan di mana saya mahu pejabat keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan keselamatan lain juga dibuka di kawasan ini.

"Pada hari ini, saya telah melakukan tinjauan di kawasan yang terjejas banjir sejak semalam dan saya dapati pejabat pasukan keselamatan perlu dibuka di sini agar respons bagi membantu penduduk lebih cepat berbanding sekarang yang jauh dari pekan Kinarut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau beberapa kawasan terjejas banjir di pekan Kinarut di sini hari ini.

Janrywine (kiri) bermesra bersama penduduk setempat ketika meninjau kawasan terjejas banjir sekitar pekan Kinarut pagi tadi.
Janrywine (kiri) bermesra bersama penduduk setempat ketika meninjau kawasan terjejas banjir sekitar pekan Kinarut pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, Janrywine akan berdepan dengan empat lagi calon lain untuk merebut kerusi DUN Kawang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah banjir yang berlaku di kawasan itu disebabkan sistem perparitan yang gagal diselenggara oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, penduduk juga kesal dengan wakil rakyat sebelum ini yang gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Ketika tinjauan ini, ada penduduk memaklumkan bahawa mereka telah mengadukan masalah banjir kepada pihak berkaitan termasuk wakil rakyat, namun ia tidak dipedulikan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan masalah banjir ini berterusan.

"Jika semalam, ada yang menyatakan banjir ini berada pada paras pinggang dan sudah pasti ini boleh membahayakan penduduk.

"Justeru itu, ini juga adalah antara misi saya untuk membantu rakyat dalam menangani masalah banjir apabila diberi mandat kelak," katanya.

Masalah banjir yang berlaku di sekitar DUN Kawang khususnya di sekitar Kinarut dipercayai disebabkan oleh pembinaan jalan raya Pan Borneo yang menyebabkan masalah perparitan berlaku.