Calon BN DUN Tanjung Keramat garis tiga perkara utama

Shahelmey (tengah) ketika melakukan tinjauan mesra di sekitar Pekan Putatan semalam.
Shahelmey (tengah) ketika melakukan tinjauan mesra di sekitar Pekan Putatan semalam.
A
A
A

PUTATAN - Calon muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menggariskan tiga perkara utama untuk rakyat apabila berjaya memenangi kerusi itu nanti.

Calonnya, Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara itu termasuklah usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengoptimakan sumber manusia dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi serta perniagaan di kawasan berkenaan.

“Ini adalah komitmen saya yang mahu melihat rakyat di kawasan ini dapat menikmati hidup yang lebih berkualiti di samping memiliki pekerjaan yang mampu membantu meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

“Saya juga mahu ekonomi dan perniagaan di kawasan ini dirancakkan lagi agar peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi dapat diwujudkan bagi manfaat rakyat itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra di sekitar Pekan Putatan, di sini semalam.

Shahelmey Yahya
Shahelmey Yahya

Shahelmey akan berdepan dengan empat pencabar lain menentang calon Parti Liberal Demokratik (LDP); Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO); Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Katanya, meskipun berdepan saingan sengit, beliau tetap menaruh keyakinan bahawa rakyat di kawasan itu akan memberi sokongan kepadanya untuk menjadi wakil di DUN berkenaan.

“Sudah pasti saya mahu suara rakyat di sini dapat didengar dan diambil perhatian oleh kerajaan. Saya juga bersyukur dan menghargai kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti memilih saya sebagai calon di DUN Tanjung Keramat.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya ini bukanlah untuk suka-suka, ini adalah tugas yang amat serius. Kita perlu melaksanakan tugas sebaiknya jika diberi mandat oleh rakyat, jika tidak rakyat akan menghukum kita balik,” katanya.

Terdahulu, Tanjung Keramat merupakan kawasan baharu yang diwujudkan dalam kawasan Parlimen Putatan merangkumi sekitar Pekan Putatan sehingga ke Taman Pantai Lok Kawi, Papar.

Ia mempunyai seramai 14,350 pemilih berdaftar dengan majoritinya adalah pengundi Bumiputera Islam.