Penjual pakaian jenama tiruan didenda RM30,000

Pegawai KPDNHEP sedang memaklumkan sesuatu kepada tertuduh, Muhammad Faizal Mohd Noor, 31 (tengah) selepas selesai prosiding pendakwaan di luar kamah Mahkamah Sesyen Besut hari ini.
Pegawai KPDNHEP sedang memaklumkan sesuatu kepada tertuduh, Muhammad Faizal Mohd Noor, 31 (tengah) selepas selesai prosiding pendakwaan di luar kamah Mahkamah Sesyen Besut hari ini.
A
A
A

BESUT- Seorang pemilik premis didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual 486 helai pakaian berjenama tiruan bernilai RM8,910.

Tertuduh, Muhammad Faizal Mohd Noor, 31, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azimah Yaacob.

Tertuduh turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan membabitkan 143 pasang kasut, 326 pasang selipar dan 17 unit topi tiruan jenama Adidas.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Cabang Tiga, Jerteh di sini pada jam 4.20 petang, 16 Mac lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar atau maksimum penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Ahmad Salam Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: