Penempatan doktor di Sarawak ikut kepakaran, keperluan

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penempatan doktor dan pakar perubatan di Sarawak dilakukan mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, jumlah doktor pakar yang dipohon bagi mengisi kekosongan di kemudahan hospital di negeri itu ialah 361 termasuk 30 pakar perubatan keluarga.

“Kita akui terdapat kekurangan pakar perubatan di Sarawak seperti di Mukah dan Beton. Untuk makluman, KKM sudah pun mengagihkan doktor dan pakar perubatan ini mengikut keperluan dan kepakaran mereka.

‘’KKM juga mengambil kira pelbagai faktor dan pendekatan bagi mengatasi masalah ini termasuk menempatkan ‘flying squad’ dan penempatan doktor kontrak di kawasan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di sini, hari ini.

Sementara itu, menurutnya, kelewatan projek menaik taraf Hospital Umum Sarawak yang kini sepatutnya siap 96 peratus adalah disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Status projek yang dimulakan pada 27 April 2017 itu, kini siap lebih-kurang 83 peratus.

"Bagaimanapun, status kemajuan ini belum diambil kira semakan semula program kerja setelah lanjutan diberikan kerajaan atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan dan projek ini dijangka siap pada 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, memberitahu projek menyiapkan baki kerja terbengkalai Hospital Petra Jaya, Sarawak berada pada fasa perolehan kepada penender yang telah lulus di peringkat prakelayakan.

"Tarikh tutup tender pada 7 Ogos lepas. Projek kini berada dalam peringkat penilaian tender dan surat setuju terima dijadualkan pada Januari 2021," katanya.

Dalam pada itu, Dr Adham turut memaklumkan KKM kini mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa sesi persekolahan dan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Beliau berkata, persiapan yang dilakukan termasuk meningkatkan kelengkapan logistik, mempersiapkan tenaga kerja dan set perlindungan diri di daerah dan negeri bagi membolehkan tindakan pantas dapat dilakukan apabila berlaku sesuatu kes.

“Kita turut membangunkan cara pengurusan dan prosedur operasi standad (SOP) di pusat pemindahan banjir termasuk sebelum, semasa dan selepas pemindahan dilakukan untuk mengelak berlaku penularan wabak,” katanya.

Persidangan dewan disambung esok. - Bernama