X

Kindly register in order to view this article
!

Pencapaian terhebat dalam hidup Morbidelli

Morbidelli mencipta sensasi meraih kemenangan pada GP San Marino di Litar Dunia Misano malam kelmarin. - Foto Petronas SIC
A
A

PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli menyifatkan kejayaannya muncul juara MotoGP pada Grand Prix (GP) San Marino di Litar Dunia Misano, Itali malam kelmarin sebagai satu pencapaian terhebat dalam hidupnya setakat ini.

Pelumba kelahiran Rom, Itali berusia 26 tahun itu berkata, kejayaan tersebut lebih manis apabila ia berlaku di kampung halamannya sendiri.

"Kejayaan saya kali ini adalah hasil usaha daripada kerjasama berpasukan. Saya dapat rasakan saya melalui minggu yang penuh dengan magis kerana pada permulaan hari perlumbaan, saya merasakan seperti sesuatu yang baik akan berlaku dan ia sememangnya menjadi kenyataan!

"Saya sememangnya tidak pernah muncul sebagai juara dalam siri Kejuaraan Dunia sebelum ini, apatah lagi di kampung halaman sendiri," katanya sejurus tamat perlumbaan kelmarin.

Menurutnya, jika tujuh tahun lalu berlumba di Litar Misano dengan jentera 600cc, kini dia adalah pemenang bagi pelumbaan MotoGP dengan kehadiran semula penonton yang menyaksikan perlumbaan.

Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Fabio Quartararo menyifatkan perlumbaan kali ini cukup sengit.

"Perlumbaan ini nyata agak sukar bagi saya, tetapi saya perlu menerimanya kerana saya telah melakukan kesilapan ketika cuba memintas Maverick (Vinales) sehingga mengakibatkan tayar jentera menjadi panas.

"Saya juga cuba mengejar, namun Jack (Miller) pula berada di hadapan saya sehingga akhirnya menyebabkan saya terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan.

"Jadi saya tidak mahu mengulangi lagi kesilapan-kesilapan berkenaan pada perlumbaan GP Emilia Romagna di litar sama hujung minggu ini," katanya.

Sementara itu, Prinsipal Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, Morbidelli menunjukkan prestasi terbaik dengan bangkit daripada kekecewaan selepas terlibat dalam kemalangan pada GP Austria bulan lalu.

"Ini adalah kemenangan yang luar biasa bagi Franco (Morbidelli). Memang patut terutamanya selepas dia terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan pertama GP Austria," kata Razlan dalam laman sesawang rasmi pasukan, www.sepangracingteam.com.

Dalam pada itu, Razlan turut memuji Quartararo yang mempamerkan persembahan yang berani walaupun gagal melengkapkan perlumbaan selepas terjatuh ketika cuba mengejar pelumba lain di hadapan.

"Dia masih berada di tempat kedua dalam kedudukan kejuaraan. Jadi, ia bukanlah suatu yang teruk dan saya yakin dia akan kembali memberi saingan yang hebat minggu depan," katanya.

Kemenangan Morbidelli membolehkan dia naik ke tempat ketujuh dalam kelas MotoGP dengan 57 mata sementara Quartararo kekal dengan 70 mata di tempat kedua selepas enam perlumbaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!