Dana AAIBE digunakan selesai masalah elektrik di pendalaman

Yeo Bee Yin - Foto Bernama
Yeo Bee Yin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) akan digunakan secara berfasa untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik di pedalaman Semenanjung dan Sabah, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Tanpa mendedahkan jumlah dana AAIBE, Bee Yin berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian untuk memastikan semua kawasan pedalaman mendapat bekalan elektrik dalam tempoh lima tahun.

Sebanyak 1,500 kediaman di Cameron Highlands telah dikenal pasti setakat ini manakala bagi statistik di kawasan lain, kementeriannya akan mendapatkannya daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, katanya.

“Kita tidak akan menyambung bekalan elektrik pada rangkaian grid nasional malah ‘decentralized power system’ adalah jalan penyelesaian.

“Banyak kampung terletak jauh daripada grid nasional dan kalau kita mahu sambung, ia adalah sangat mahal. Jadi, kita buat decentralised atau mikro grid atau terus letak atas bumbung rumah supaya dapat bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada warga MESTECC pada Program MESTECC 2019: Kuasai. Laksana. Ungguli. (Own it. Do It. Ace It) di sini hari ini.

Bee Yin turut menggalakkan syarikat swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau melaksanakan kampung pedalaman angkat bagi menyediakan bekalan elektrik.

Dalam perkembangan lain, Yeo memaklumkan bahawa Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC) akan dimansuhkan tahun ini.

“Kita memang tidak akan rancang untuk laksana penjanaan kuasa yang menghasilkan radioaktif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada September tahun lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak ada rancangan untuk membangunkan kuasa nuklear bagi menjana elektrik di Malaysia berikutan risiko-risiko yang berkaitan dengannya.

Terdahulu, Bee Yin dalam ucapan perasmian mengumumkan 73 inisiatif sebagai kerangka hala tuju kementerian tahun ini.

Inisiatif itu dibahagikan kepada tiga sektor utama merangkumi Tenaga dengan 20 inisiatif; Sains, Teknologi dan Inovasi (22) serta Alam Sekitar (20).

“Ia turut disokong lima inisiatif Kecemerlangan Organisasi dan enam bagi isu-isu strategik dengan melibatkan lebih daripada 150 pelan tindakan akan dilaksanakan,” katanya.

Di bawah sektor alam sekitar, Yeo berkata pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan sehingga 100 peratus dalam menangani isu alam sekitar bagi tahun ini, dengan memfokuskan ke atas kilang kitar semula plastik pada suku pertama tahun ini.

“Kerajaan sedang lipat ganda usaha menahan atau mendakwa (individu atau syarikat) yang melakukan kesalahan alam sekitar," katanya. - Bernama