FAM rujuk AFC kes KFA

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengemukakan rayuan untuk lanjutan tempoh bagi penghantaran dokumentasi kewangan pelesenan kelab yang berakhir hari ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak negara itu akan merujuk rayuan KFA berkenaan dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut Stuart, KFA memohon tempoh lanjutan tersebut berikutan situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Alor Setar, Kedah pada ketika ini.

"Ya FAM ada menerima permohonan tempoh lanjutan berkaitan dokumentasi kewangan bagi melengkapkan proses pelesenan kelab daripada KFA yang sepatutnya diserahkan esok (hari ini).

"FAM akan mendapatkan maklum balas pihak AFC dalam kes KFA ini. Situasi ini sesuatu yang praktikal dan FAM memahami situasi terkini yang berlaku di sana (Kedah)," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Stuart berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) lain yang berdepan masalah tunggakan gaji untuk lanjutan tempoh berkenaan.

"Pasukan yang masih berdepan kes tunggakan gaji tidak berdepan sebarang masalah dalam melengkapkan dokumentasi kewangan ini terutamanya Kelantan.

"Tapi kita tahu Kelantan sudah mempunyai pemilik baharu yang kini aktif dalam menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan pasukan berkenaan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Stuart menjelaskan, jika terdapat pasukan yang gagal mematuhi tarikh akhir ditetapkan FAM, pihaknya tidak akan berkompromi, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk tindakan selanjutnya.