DBKL kaji semula arahan pembangunan elak banjir kilat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyemak semula syarat arahan pembangunan sebelum diberikan kepada pemaju supaya kejadian banjir kilat yang berlaku di ibu negara pada Khamis lalu tidak berulang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, setiap pemaju perlu memastikan sistem perparitan yang berada dalam kawasan pembinaan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Kita akan mengawal syarat-syarat (sebelum luluskan arahan pembangunan) supaya kontraktor menjaga utiliti daripada diabaikan semasa pembinaan," katanya kepada media selepas merasmikan Program Bubur Asyura di sini hari ini.

Program anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL itu bertujuan merapatkan ukhuwah sekali gus mendekati orang ramai.

Pada masa sama, Nor Hisham berkata, DBKL turut merancang untuk memperbesar dan mendalamkan kolam takungan banjir.

"Kita sedang mengenal pasti kolam, lombong atau tasik yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan banjir.

"Bagi perumahan baharu, kita akan memastikan kontraktor menyediakan kolam takungan banjir untuk kawasan pembinaan mereka. Walaupun memerlukan kos yang tinggi, ia untuk kepentingan orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuang sampah di dalam longkang dan kawasan perparitan.

Artikel Berkaitan:

"Sebab Kuala Lumpur ini kita punya, kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi? Kitalah sebagai warga Kuala Lumpur," katanya.

Pada 10 September lepas, hujan lebat yang bermula kira-kira 1.30 tengah hari mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).

Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas dan eramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang diselamatkan bomba. - Bernama