Sistem pengangkutan nasional lebih bersepadu di seluruh negara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan berusaha mencapai sistem pengangkutan nasional yang lebih bersepadu di seluruh Malaysia di bawah Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, semua dasar nasional adalah inklusif di seluruh negara dan kementerian sentiasa menggalakkan koordinasi antara badan kawal selia yang berbeza yang beroperasi di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Kami merancang untuk mengintegrasikan sistem maklumat sedia ada yang lebih baik di seluruh Malaysia.

"Apa pun dasar pengangkutan yang dilaksanakan, jika ia adalah untuk negara, ia bermakna tiada siapa yang dipinggirkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TREVO Lighthouse Activation Centre di Bangsar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Foong dan Pengurus Besar TREVO, Susan Teoh.

TREVO, anak syarikat SOCAR Mobility Malaysia menawarkan perkhidmatan perkongsian kereta antara rakan setara atau Peer-to-Peer (P2P) yang membolehkan pemandu menempah kenderaan daripada pemilik kereta yang mendaftar dengan perkhidmatan berkenaan.

Pada acara sama, Ka Siong turut melancarkan fasa pertama kajian pembuktian konsep (POC) TREVO melibatkan pelaburan bernilai RM2 juta.

Melalui program itu, TREVO akan menyediakan RM200 bantuan kewangan kepada 10,000 hos baharu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu yang mendaftar dengan TREVO dan menyediakan kereta mereka untuk ditempah ahli TREVO sekurang-kurangnya 14 hari setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Memuji inisiatif TREVO, Ka Siong berkata, ekonomi perkongsian menawarkan ganjaran besar bagi rakyat Malaysia yang boleh memberi kelegaan kepada yang akan mendapat manfaat daripada pendapatan tambahan.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah langkah tepat pada masanya kerana lebih ramai rakyat Malaysia akan menghadapi tekanan untuk membayar pinjaman sewa beli mereka serta lebih banyak kereta tidak bergerak berikutan ramai bekerja dari rumah dan pengurangan waktu bekerja.

“Ini sangat tepat pada masanya, seperti yang kita lihat bahawa kadar pengangguran pada bulan Julai 2020 adalah 47 peratus iaitu 745,100 hilang pekerjaan berbanding 3.2 peratus pengangguran dicatatkan pada Januari 2020 iaitu 511,700 orang,” katanya.

Ka Siong juga menggalakkan lebih banyak pemain industri untuk memanfaatkan perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan ekonomi perkongsian kereta P2P di Malaysia.

Sebagai contoh, beliau berkata, pelaburan sebanyak RM2 juta itu berpotensi menjana lebih RM90 juta pendapatan tahunan untuk 10,000 rakyat Malaysia yang menyertai program itu. - Bernama