X

Kindly register in order to view this article
!

Menangani ancaman CBRNe

A
A

DUA tahun lalu, seramai enam ahli terakhir kumpulan Aum Shinrikyo yang terlibat dalam serangan gas sarin di stesen kereta api bawah tanah Tokyo, Jepun pada tahun 1995 telah dijatuhi hukum mati.

Nyawa mereka berakhir di tali gantung beberapa minggu selepas hukuman sama dilaksanakan ke atas pemimpin kumpulan itu, Shoko Asahara. Enam lagi pengikutnya juga telah menjalani hukuman mati pada tahun itu.

Insiden tersebut mendapat perhatian antarabangsa apabila mengorbankan seramai 13 mangsa, manakala ratusan lagi cedera. Kebanyakan individu yang terkorban pula dipercayai terdedah secara langsung kepada bahan kimia itu semasa cuba membantu mangsa-mangsa yang lain.

Meskipun mangsa-mangsa serangan yang cedera kembali pulih tetapi kebanyakan mereka masih mengalami masalah penglihatan dan pernafasan walaupun peristiwa itu telah 25 tahun berlalu. Kumpulan pengganas Aum Shinrikyo juga bukan biasa-biasa kerana ahli-ahlinya merupakan individu cerdik pandai dan mengetahui kaedah mengendalikan bahan kimia berbahaya itu.

Ikuo Hayashi merupakan doktor perubatan kanan dan pakar jantung, manakala Yasuo Hayashi merupakan lulusan kejuruteraan kepintaran. Tiga yang lain merupakan lulusan fizik gunaan iaitu Toru Toyoda, Kinichi Hirose dan Masato Yokoyama.

Seperti gas sarin, wabak antraks yang dikaitkan dengan serangan di New York dan Washington, Amerika Syarikat pada September 2001 menjadi senjata biologi yang efektif, selain menimbulkan suasana panik. Dalam kejadian itu, seramai lima orang maut dan 17 orang cedera apabila sfora bakteria antraks disebarkan dalam bentuk serbuk dan diposkan kepada mereka yang berkenaan.

Antraks merupakan senjata biologi yang amat berkesan kerana ia boleh menyebabkan maut kepada sesiapa yang mendapat jangkitan bakteria itu terutama gangguan pernafasan.

Sebab itu, kemahiran dalam bidang kimia, biologikal, radiologikal, nuklear dan letupan (CBRNe) perlu menjadi cabang kemahiran baharu bagi pasu-kan keselamatan negara. Serangan menggunakan senjata biologi boleh berlaku di mana-mana negara, khususnya oleh kumpulan pengganas, lantas memerlukan kebolehan untuk berhadapan dengan ancaman sedemikian.

Bagi sesebuah pasukan khas tentera atau polis pula, anggotanya mesti dilatih untuk menumpaskan musuh dalam kemahiran berkaitan CBRNe kerana corak operasi dan taktikal adalah berbeza, selain perlu mengetahui tahap-tahap serangan kimia serta biologi dan memiliki pengetahuan dalam bidang sains.

Ketika ini telah ada beberapa pasukan tertentu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai kemahiran dalam operasi CBRNe seperti 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula mempunyai Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi menangani CBRNe.

Pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 7 Mac 2019 sehingga menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk murid sehingga 111 buah sekolah ditutup sebenarnya boleh menjadi serangan kimia sekiranya ia dilakukan dengan niat jahat.

Walaupun bahan buangan terhasil daripada kilang pemprosesan tayar yang dikaitkan dengan insiden pencemaran tersebut adalah buangan berjadual jenis SW311 iaitu enap cemar berminyak tetapi kesan kecilnya sudah cukup untuk membimbangkan seluruh negara.

Banyak negara luar telah memberi fokus kepada ancaman CBRNe terutama kebimbangan serangan yang memberi kesan besar kepada masyarakat. Justeru, kita juga mesti bersedia untuk berhadapan situasi begini pada masa akan datang.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!