X

Kindly register in order to view this article
!

Kisah Cyprus, Greece dan Turki

A
A

SEBUAH pulau yang jarang dibincangkan oleh rakyat Malaysia ialah Cyprus (sebutan: sai-prēs). Di atas peta, ia kelihatan sebagai sebuah bot atau kapal yang mempunyai anjung atau cucur (bowsprit) yang panjang. Ia adalah pulau ketiga paling ramai penduduknya di Laut Tengah atau Mediterranean. Cyprus ialah istilah bahasa Inggeris. Ia dikenali sebagai Qubrus dalam bahasa Arab dan Kibris dalam bahasa Turki.

Nama asalnya ialah Cipros (sebutan: si-pros) dalam bahasa Yunani. Terletak di bahagian timur Laut Tengah, ia terletak di selatan Turki, barat negara Sham atau Syria (sebutan: si-ria; bukan syi-ria) dan Lubnan, utara Mesir dan Palestin serta tenggara Greece.Cyprus mempunyai sejarah yang berliku-liku.

Selama banyak kurun, ia merupakan pulau yang dipengaruhi oleh tamadun Yunani kuno. Kemudian, ia menjadi sebahagian Empayar Bizantin atau Rumawi Timur. Cyprus mengalami dua gelombang kuasa Islam. Ia dijajah oleh kerajaan British dengan pelbagai kuasa dan nama yang digunakan dari tahun 1878 hingga 1960.

Pulau berkenaan dibahagi kepada dua bahagian apabila Republik Turki menyerangnya pada tahun 1974. Tindakan itu berlaku selepas rampasan kuasa oleh golongan nasionalis Yunani di pulau itu dan penduduk Turki ditindas. Republik Turki Cyprus Utara (RTCU) di utara seluas 3,500 kilometer persegi diduduki oleh kaum etnik Turki tetapi ia tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia kecuali Turki.

Republik Cyprus (RC) seluas 5,750km persegi yang diduduki oleh kaum etnik Yunani diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan lebih 100 negara di dunia. RTCU disebut sebagai sebuah negara merdeka de facto dalam RC. Pada 1 Mei 2004, hanya RC dibenarkan menjadi ahli Kesatuan Eropah tetapi tidak RTCU.

Menurut makalah The Abandoned Mosques of Cyprus di tapak sawang muslimsgotravel.com (diakses pada 14 September 2020), wujud sebanyak 160 masjid di seluruh pulau Cyprus termasuk kumpulan masjid yang tidak terjaga di RC. Asal beberapa buah masjid ialah gereja. Ia berlaku apabila sesebuah komuniti Kristian berpindah dan meninggalkan gereja mereka yang kemudian diubah suai untuk menjadi masjid.

Dalam masa sebulan, kerajaan demokratik Republik Turki telah menjadikan dua buah muzium sebagai masjid. Pada hari Jumaat, 24 Julai 2020, solat Jumaat pertama didirikan di Masjid Aya Sofia (Hagia Sophia) sejak ia dijadikan sebuah muzium pada tahun 1935 oleh kerajaan sekular pimpinan Kemal Ataturk.

Muzium

Sebulan kemudian, Masjid Kariye yang telah dijadikan muzium pada tahun 1945 diisytiharkan kembali sebagai se-buah masjid menurut perintah mahkamah. Sebagai wilayah yang dikuasai sepenuhnya oleh rakyat berketurunan Turki dan kerajaan yang berada di bawah naungan Republik Turki, kerajaan Republik Turki dengan mudah menggunakan bahagian Cyprus utara sebagai padang latihan tenteranya.

Pada masa yang sama, seluruh Cyprus berada di kawasan timur Laut Tengah yang sedang terjebak dalam kontroversi pertindihan kawasan yang dituntut oleh dua ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara atau NATO iaitu Turki dan Greece seperti apa yang sedang berlaku di Laut China Selatan dan Laut Natuna.Greece juga menentang Turki yang rancak menjalankan eksplorasi hidrokarbon di tempat-tempat yang dipertikaikan.

Pada musim panas tahun 2020, Turki telah menghantar sebuah kapal survei seismik ke daerah laut yang kontroversial itu setelah Greece menandatangani perjanjian dengan Mesir yang amat akrab dengan Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Nampaknya sejarah berulang. Sewaktu kegemilangan Empayar Uthmaniyyah, sultan, rakyat serta tenteranya terpaksa berdepan dengan pelbagai kuasa Eropah. Kini Perancis sudah mengukuhkan sokongannya kepada Greece yang amat menginginkan kerjasama ketenteraan dengan kuasa Eropah. Amerika dan Eropah mengetahui bahawa sesiapa yang menguasai sumber marin timur Laut Tengah berpotensi menjadi kuasa besar di Eropah.

Turki tiada pilihan melainkan merebut peluang itu untuk menjadi kuasa besar dan memujuk rakyatnya yang sedang menghadapi krisis Covid-19 serta kesusahan ekonomi. Apabila mereka bertemu pada 25 hingga 26 September 2020, negara-negara Kesatuan Eropah ingin menggunakan pendekatan ‘pujuk-amaran’ kepada Turki.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!