X

Kindly register in order to view this article
!

RM10 juta bina infrastruktur luar jelapang padi di Kelantan

Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta khusus untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di luar kawasan jelapang padi di Kelantan. (Gambar hiasan)
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta khusus untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di luar kawasan jelapang padi di Kelantan dalam usaha meningkatkan hasil padi daripada empat atau lima kepada enam hingga tujuh metrik tan sehektar.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan rumah pam dan saliran air yang mencukupi bagi keperluan sawah padi.

“Sebahagian besar projek itu membabitkan Jajahan Machang dan Pasir Puteh yang akan dilaksanakan sebelum berakhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Jawa, Selising di sini hari ini.

Beliau berkata, rancangan itu adalah sebahagian daripada usaha awal cadangan untuk memperluaskan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang kini semakin mengecil akibat banyak kehilangan kawasan yang sedia ada bagi pembinaan rumah dan projek komersial.

Katanya, projek itu akan dilaksana dan dipantau oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

Saripudin yang juga anggota Lembaga Pengarah KADA berkata, apabila projek berkenaan siap kelak tanaman padi di kawasan itu yang kini hanya dapat diusahakan sekali setahun kepada dua kali setahun sekali gus layak diletakkan di bawah pentadbiran KADA yang mempunyai keupayaan membangunkan taraf hidup petani terbabit.

“Apabila kawasan KADA diperluaskan peruntukan mengenainya akan ditambah sekali ganda untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan tanaman padi di Gong Tambak, Tualang Tinggi (KADA) akan dijadikan ‘ladang contoh’ kerana berjaya meningkatkan hasil padi melebihi enam metrik tan sehektar pada musim-musim lepas.

Katanya, pihaknya bercadang membina sebuah lagi rumah pam di kawasan itu yang membabitkan peruntukan dianggarkan lebih RM500,000 bagi menjamin bekalan air yang mencukupi terutama bagi menampung keperluan pada musim kemarau. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!