Hormati jasa dan pengorbanan veteran angkatan tentera

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MERAK Jalanan bangga dengan kecekalan sepasang suami isteri yang merupakan bekas tentera mengusahakan gerai nasi ‘ganja’ di ibu kota Kuala Lumpur.

Perniagaan nasi yang dimasak dengan rempah khas bersama daging atau ayam goreng serta air asam istimewa dari Kedah sejak beberapa bulan lalu begitu laris.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan jiran-jiran agak terkejut dengan nama nasi ganja yang menjadikan makanan itu mendapat perhatian pelanggan.Janganlah jadi ‘pembaris’ sangat dengan nama tersebut walaupun nama ganja itu sinonim dengan sejenis tumbuhan yang sangat popular dalam kalangan penagih dadah.

Namun, dalam konteks makanan, nasi ganja itu boleh membuatkan pelanggan berasa ketagih dan ingin makan berulang kali, bukannya khayal dengan ganja yang digunakan penagih.

Berbalik kepada kecekalan pasangan tersebut, ia mengingatkan tentang jasa dan pengorbanan mereka sejak berusia awal 20-an lagi ketika menyertai pasukan tentera.

Mereka merupakan golongan yang perlu kita hormati dan sanjungi sama seperti guru-guru yang mendidik anak kita di sekolah. Jika di Amerika Syarikat, sebut sahaja veteran tentera, pasti golongan itu mendapat penghormatan tertinggi dalam masyarakat.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut ulang tahun ke-87 pada tahun ini. Walaupun negara tidak berhadapan dengan peperangan, namun banyak tugas dan tanggungjawab mereka kepada negara serta rakyat.

Ketika kita sedang lena tidur di rumah, mereka inilah yang menjaga keselamatan kita di sempadan negara dan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman musuh.

Artikel Berkaitan:

Jika kita benar-benar menghargai mereka, marilah kita sama-sama menyumbang dalam Tabung Pahlawan 2020 supaya kita dapat membantu veteran ATM dan ahli keluarga mereka seperti peniaga nasi popular di Kuala Lumpur itu.