Najib tersenarai dalam pangkalan data pesalah rasuah di laman SPRM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini tersenarai dalam data pesalah rasuah yang dikemas kini di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Maklumat yang turut memaparkan nombor kad pengenalan serta perincian kes Najib itu menjadi paparan muka pertama bahagian statistik data pesalah rasuah yang turut menyenaraikan 632 lagi senarai pesalah rasuah lain.

Antara maklumat lain yang dipaparkan ialah nombor kes dan label 'sedang dirayu'.

Data tersebut dimasukkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu memutuskan bahawa Najib didapati bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah gunakan kuasa membabitkan dana SRC iaitu bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, turut tersenarai dalam data maklumat berkenaan ialah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Datuk Faizoull Ahmad.

Maklumat dalam laman sesawang berkenaan memaklumkan, objektif utama pangkalan data pesalah rasuah adalah untuk menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa perang telah diisytiharkan terhadap rasuah.

Data yang dipapar juga sebagai alat kesedaran bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

Artikel Berkaitan:

Turut dinyatakan, pangkalan data tersebut adalah sebagai pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Maklumat mengenai mereka dan kesalahan yang dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM.

Dalam laman sesawang berkenaan turut mendedahkan data statistik operasi tangkapan dilakukan SPRM sejak Januari hingga Ogos tahun ini iaitu berjumlah 662 tangkapan.

Ia terdiri daripada 299 orang daripada sektor penjawat awam (pengurusan tertinggi, pengurusan profesional dan sokongan) serta 363 orang daripada sektor awam (swasta, orang awam dan lain-lain).