Jangan berbasikal di laluan sesak dengan kenderaan

Gambar tular kumpulan berbasikal menggunakan laluan utama di Bukit Kepayang menghala ke Bandaraya Seremban.
Gambar tular kumpulan berbasikal menggunakan laluan utama di Bukit Kepayang menghala ke Bandaraya Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Penunggang basikal di negeri ini diingatkan supaya tidak menggunakan laluan yang sibuk untuk menjalankan aktiviti berbasikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, kumpulan berbasikal sepatutnya mengelakkan daripada menggunakan laluan yang sibuk dengan kenderaan.

Ini kerana, katanya, laluan sebegitu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain termasuk penunggang basikal itu sendiri.

"Kalau ada laluan basikal, lebih baik mereka menggunakan laluan basikal. Jangan sesekali mengunakan laluan utama yang sibuk atau banyak kenderaan.

"Jika menunggang dalam berkumpulan, mereka perlulah menunggang secara deretan agar tidak membahayakan diri," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar tular beberapa individu berbasikal yang menggunakan laluan utama berdekatan Bukit Kepayang menghala ke Bandaraya Seremban.

Perbuatan tersebut turut menerima kecaman netizen apabila dilihat boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Ibrahim berkata, sekiranya penunggang basikal berkenaan menunggang dalam keadaan melulu atau merbahaya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 54/42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Penalti maksimum yang boleh dikenakan ke atas sabitan denda ialah sebanyak RM300. Jika sabitan kali kedua atau kemudiannya, denda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan boleh dikenakan," katanya.