1MDB: Arahan Jho Low, Azlin adalah arahan Najib: Saksi

Najib (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan Kes 1MDB, hari ini.
Najib (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan Kes 1MDB, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah RM2.3 bilion membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa, sebarang keputusan membabitkan 1MDB perlu melalui ahli perniagaan, Low Taek Jho dan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias, terlebih dahulu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman berkata, beliau diberitahu sejak awal pertemuan, sebarang keputusan daripada dua individu itu merupakan arahan daripada Najib.

Ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah, saksi berkenaan berkata, beliau perlu akur kerana Jho Low memaklumkan bahawa semua dana yang diterbitkan melalui pelaburan 1MDB di luar negara adalah untuk kepentingan UMNO dan beliau tidak boleh mempersoalkan perkara tersebut.

“Pertemuan dengan Datuk Azlin dan Jho Low itu berlaku di sebuah hotel di Putrajaya pada 15 Julai 2012, yang mana saya diberitahu tujuan 1MDB ditubuhkan adalah untuk membantu UMNO.

“Bagaimanapun, beliau tidak bercakap secara terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan syarikat itu untuk membantu parti,” katanya.

Saksi berusia 48 tahun itu berkata, Jho Low juga memaklumkan bahawa 1MDB merupakan syarikat di bawah kendalian dan kehendak Najib yang mana sebarang keputusan dan kata putus adalah di bawah kuasa mutlaknya.

Mohd Hazem yang mula bekerja di 1MDB pada Ogos 2012 berkata, Jho Low merupakan orang penting yang dikatakan oleh Najib dalam 1MDB, iaitu penasihat khas syarikat melibatkan pelaburan dan pengumpulan dana.

Beliau juga percaya, Jho Low memegang ramai pemimpin pengurusan kanan dalam firma itu antaranya peguam, Jasmine Loo, manakala Jasmin akan menggunakan bekas Timbalan Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Terrence Geh iaitu orang kuat Jho Low yang menyediakan kertas kerja pemindahan wang dan terbitan Bon luar negara.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu katanya, individu lain termasuk beliau iaitu bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir perlu mendengar arahan dan menurut kehendak Jho Low.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam mewakili Najib diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan bersambung esok.