X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Kedah: 10 laluan tikus dikesan di Kota Setar

Sepasukan anggota polis membuat penutupan jalan di Jalan Gunung-Sungai Korok, di sini, hari ini. - Foto Facebook Polis Kota Setar
A
A

ALOR SETAR - Polis mengenal pasti sebanyak 10 laluan tikus di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran di Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, laluan itu dikesan berdasarkan pemantauan dilakukan di beberapa kampung bersempadan Kota Setar.

"Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan di laluan tikus dan kita sekadar menasihati, memberi amaran dan mengarahkan mereka berpatah balik sahaja.

"Bagaimanapun, tindakan tangkapan menyusul jika masyarakat masih berdegil," katanya ketika diminta mengulas berhubung laluan tikus untuk keluar masuk ke Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, pegawai dan anggotanya akan melaksanakan pemantauan setiap masa di laluan tikus tersebut.

"Pengguna merangkumi semua pengguna jalan raya yang bersesuaian menggunakan lorong itu untuk keluar dari kawasan berkenaan.

"Selain itu, kita mengambil tindakan drastik dengan menutup tiga laluan yang menghubungkan Kota Setar dengan Perlis dan Jitra seperti di Sungai Korok," katanya.

Noor Azman berkata, tindakan terbabit secara tidak langsung akan mengalihkan semua pengguna ke arah sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan polis.

"Kita akan mengarahkan pengguna jalan raya untuk berpatah balik sekiranya tiada surat pengesahan polis," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya mendapati tahap pematuhan masyarakat adalah memuaskan iaitu kira-kira 99 peratus, namun masih ada masyarakat yang tidak faham atau degil.

Berdasarkan maklumat dimuat naik di Facebook Polis Kota Setar, sebanyak tiga jalan ditutup iaitu Jalan Gunung-Sungai Korok, simpang Gelong Air-Gunung Keriang dan simpang Gelong Air-Kangar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!