X

Kindly register in order to view this article
!

Gabungan PN telah didaftarkan dan diluluskan, kata RoS

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) memaklumkan gabungan Perikatan Nasional (PN) telah didaftarkan dan diluluskan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gabungan Perikatan Nasional (PN) telah didaftarkan dan diluluskan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020.

RoS memberitahu, kelulusan itu berkuat kuasa 7 Ogos lalu di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Menurutnya, sijil pendaftaran, logo parti dan perlembagaan parti telah ditandatangani dan dikemukakan kepada PN sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan.

"Kenyataan bahawa PN tiada rekod daftar parti tidak berasas sama sekali," katanya.

Jabatan itu berkata, dakwaan bahawa maklumat kelulusan PN tidak terdapat dalam sistem RoS tidak benar.

"Sistem di laman sesawang RoS bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemas kini secara automatik setiap dua bulan dan kelulusan PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang pada awal Oktober.

"Ini memandangkan PN diluluskan pada Ogos 2020," katanya.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, sekiranya ada carian khusus dalam sistem pertubuhan eROSES ia akan jelas memaparkan PN diluluskan pada 7 Ogos.

"Maklumat parti yang terdapat dalam sistem eROSES hanya boleh diakses oleh setiausaha parti tersebut sahaja," katanya.

Isu pendaftaran PN menjadi hangat apabila Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman hari ini mendedahkan tiada rekod pendaftaran gabungan politik itu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan pendaftaran PN.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR cabar Muhyiddin buktikan status pendaftaran PN


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!