Covid-19: Kluster Benteng LD terus catat peningkatan kes

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kluster Benteng LD terus mencatatkan peningkatan apabila 17 kes positif Covid-19 dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu melibatkan sembilan warga tempatan dan lapan warga asing.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 ialah 420 membabitkan 185 rakyat tempatan dan 235 warga asing.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 5,402 individu telah disaring dan daripada jumlah itu, 1,822 individu negatif manakala 3,160 masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selain Kluster Benteng LD, Sabah yang sedang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) turut merekodkan lima lagi kes baharu.

"Masing-masing satu kes dikesan dalam saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu, kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Kudat, saringan rujukan ke Hospital Tawau dan saringan kontak rapat bagi kes ke-9454 serta kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes melibatkan kapal yang berlabuh iaitu Kluster Bunga turut mencatatkan peningkatan dengan empat kes baharu direkodkan.

"Empat kes baharu dilaporkan dalam kluster ini melalui persampelan kedua bagi sejumlah 22 kru kapal yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, 10 kes positif Covid-19 dikesan daripada Kluster Bunga.

Sementara itu, satu kes baharu positif Covid-19 dikesan daripada Kluster Sungai.

"Setakat ini 58 kes melibatkan Kedah, Pulau Pinang dan Perlis disahkan positif Covid-19," katanya.

Tambahnya, seramai 16,775 individu telah disaring dengan 13,851 negatif dan 2,731 masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham turut memberitahu, jumlah penularan dalam negara ialah 28 kes selain turut merekodkan tiga kes import yang mendapat jangkitan daripada Indonesia.

"Pertambahan kes baharu termasuk menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah 9,946.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 615 kes," katanya.

Menurutnya,11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk lima memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun katanya, kes kematian Covid-19 kekal pada 128 kes selepas tiada pertambahan dilaporkan pada hari ini manakala tujuh kes telah pulih dan dibenarkan discaj.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,203 kes iaitu bersamaan 92.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.