'You jaga sikit, ada orang mahu bakar lori'

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh memadamkan api pada empat lori di hadapan sebuah kedai di Menglembu, Ipoh hari ini.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh memadamkan api pada empat lori di hadapan sebuah kedai di Menglembu, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - "You (awak) jaga sikit, ada orang mahu bakar you (awak) punya lori." Itu amaran diterima seorang peniaga pada minggu lalu.

Bagaimanapun, amaran itu ternyata jadi kenyataan apabila empat lori milik peniaga itu yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Taman Mas, Menglembu di sini terbakar hari ini.

Kebakaran sekitar jam 4 pagi itu mengakibatkan kesemua lori berkenaan musnah lebih 70 peratus dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM190,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan perbuatan khianat.

Menurutnya, mangsa berusia 49 tahun yang menjalankan perniagaan membekal dan menjual telur ayam sejak 23 tahun lalu memberitahu menerima peringatan daripada rakan memintanya berhati-hati kerana ada pihak mahu membakar lori miliknya.

Keadaan empat lori yang terbakar dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai di Taman Mas, Menglembu, Ipoh hari ini.
Keadaan empat lori yang terbakar dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai di Taman Mas, Menglembu, Ipoh hari ini.

"Semakan rekod mendapati mangsa sebelum ini tidak pernah membuat apa-apa laporan polis berkaitan ugutan ah long mahupun kongsi gelap.

"Malah mangsa mengakui tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak. Dia juga tidak mengesyaki sesiapa yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu," katanya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Nordin berkata, kali terakhir semua lori berkenaan ditinggalkan dalam keadaan selamat dan berkunci ialah pada jam 4.30 petang semalam.

Setakat ini, katanya, tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan, namun polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.

"Siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.