Polis Johor siasat isu penagihan dadah pelajar sekolah

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan menyiasat pendedahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bahawa terdapat seramai 177 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di negeri ini terbabit dengan penagihan dadah.

Ketua Polisnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan pihaknya itu lebih menjurus kepada usaha menjejaki pembekal dadah yang diperoleh pelajar berkenaan.

“Saya akan semak semula dan mendapatkan maklum balas daripada mereka (AADK), sebab kalau memang pelajar ini penagih dadah, kita nak tahu dari mana mereka mendapatkan bekalan dadah itu.

“Lagipun, mungkin fokus AADK adalah pada pemulihan dan kaunseling, sementara kita pula nak tengok bagaimana dia punya rangkaian dan sejauh mana penembusan mereka di sekolah,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN 177 pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah

Majlis serah terima tugas itu berlangsung di antara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad yang bersara wajib pada 17 September ini kepada Asisten Komisioner Rapeah Abd Wahid.

Sabtu lepas, AADK mendedahkan terdapat seramai 177 pelajar sekolah menengah di negeri ini positif dadah sejak awal tahun.

Jumlah tersebut diperoleh hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pihaknya terhadap seramai 10,175 pelajar Tingkatan Empat dan Lima daripada 280 buah sekolah seluruh Johor.

Ujian saringan itu pula diadakan susulan terdapat maklumat yang menunjukkan bahawa pelajar berusia antara 16 hingga 25 tahun adalah yang paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, polis Johor kini dalam proses akhir untuk menyiapkan modul pembelajaran berkaitan dadah di peringkat sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi serta komuniti.

Modul itu, katanya, dibangunkan oleh pakar psikologi Universiti Teknologi Malaysia bersama pihak polis dan dilancar pada penghujung bulan depan.

“Modul ini akan memberi penekanan terhadap isu penagihan dadah, kerana mahu memastikan masyarakat tahu mengenai bahaya dadah, merokok dan sebagainya,” katanya.