X

Kindly register in order to view this article
!

Rizal dituduh minta rasuah yang disebut sebagai 'dana politik'

Rizal (kanan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Gambar fail
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam utama Datuk Jagjit Singh menyifatkan bekas Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor sebagai seorang yang tidak jujur dan berniat jahat apabila meminta wang rasuah yang kononnya disebut sebagai dana politik untuk kepentingan dirinya.

Ketika diasak soalan oleh Jagjit, saksi pendakwaan ke-21 itu ada meminta wang rasuah dari Pengarah Ususan Jepak Holdings, Saidi Abang Shamsudin untuk tajaan umrah lebih lima kali, Rizal tidak bersetuju.

Rizal memberitahu mahkamah hari ini, wang yang digunakan itu adalah sumbangan dana politik dan bukan rasuah.

Dalam pemeriksaan utama Jagjit terhadap Rizal di mahkamah tinggi hari ini, saksi itu turut didakwa berbohong untuk melepaskan dirinya terhadap empat pertuduhan dalam kes rasuah sebelum ini.

Bagaimanapun, Rizal memberitahu mahkamah bahawa kesemua wang yang diterima daripada Saidi melalui projek solar termasuk tajaan umrah dan beberapa lagi perjumpaan dengan Saidi untuk mendapatkan wang itu kesemuanya adalah sumbangan politik dan disebabkan itulah dia menerima wang berkenaan.

Jagjit turut bertanya kepada Rizal adakah wang sumbangan politik boleh digunakan bagi kegunaan sendiri untuk menunaikan umrah bersama keluarga dan bukannya ketika menjalankan tugasan?

"Tidak malukah guna duit rasuah pergi tunaikan umrah, jawab di akhirat?" tegasnya ketika bertanya kepada Rizal di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun, Rizal membantah dan tetap dengan pendiriannya bahawa wang yang diterima itu adalah sumbangan politik.

Jagjit turut mengasak Rizal bahawa saksi itu masih berbohong kepada mahkamah berikutan ketika didakwa atas empat pertuduhan melibatkan dirinya sebelum ini, dalam kertas pertuduhan tiada pernyataan menyatakan Rizal menerima sumbangan politik.

Tetapi dalam pernyataan saksinya ketika prosiding kes solar hibrid ada pernyataan Rizal ada terima wang berkenaan sebagai sumbangan politik.

"Kamu sebagai penjawat awam dengan gaji RM7,000, boleh menggunakan kereta mewah Audi, BMW dan Mercedes Benz dan juga punyai rumah mewah bernilai RM 3juta. Sebagai penjawat awam adakah awak boleh terima wang rasuah?" tanya Jagjit.

Rizal menjawab tidak, sebagai penjawat awam dia tidak boleh menerima rasuah dan ia salah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!