Tiada harga siling tiket penerbangan untuk cegah manipulasi

Hasbi Habibollah
Hasbi Habibollah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak menetapkan sebarang harga siling bagi harga tiket penerbangan domestik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan sebarang manipulasi oleh syarikat penerbangan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah.

Hasbi berkata, kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati kebanyakan pihak berkuasa penerbangan awam di negara-negara lain tidak mengawal harga tiket penerbangan mereka sama ada bagi laluan antarabangsa atau domestik.

“Bagi negara yang melaksanakan penetapan harga tiket seperti di Indonesia, pengawalan harga telah menimbulkan implikasi negatif iaitu peningkatan purata harga tiket penerbangan.

“Dalam situasi ini, syarikat penerbangan didapati telah mengambil kesempatan daripada harga siling penerbangan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi tujuan memaksimumkan keuntungan mereka walaupun semasa di luar waktu puncak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr Nuing Jeluing yang ingin tahu sekiranya kerajaan berhasrat untuk menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan bagi laluan tersebut demi perpaduan negara.

Hasbi berkata, kerajaan turut mengarahkan MAVCOM untuk menjalankan pemantauan berkaitan kadar tambang yang dikenakan terhadap syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memastikan harga tambang yang dikenakan itu sentiasa berada pada paras kompetitif.

Harga tiket penerbangan dijangka akan kembali normal sama seperti tahun 2019 menjelang November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: