Kadar pengangguran diunjur 4.5 peratus menjelang akhir tahun

Kemasukan graduan baharu dan pekerja kembali untuk mencari pekerjaan kerana keadaan ekonomi terus pulih seharusnya menyaksikan kadar penyertaan tenaga yang lebih tinggi dalam bulan-bulan mendatang. - Foto Bernama
Kemasukan graduan baharu dan pekerja kembali untuk mencari pekerjaan kerana keadaan ekonomi terus pulih seharusnya menyaksikan kadar penyertaan tenaga yang lebih tinggi dalam bulan-bulan mendatang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran di Malaysia dijangka terus berkurangan kepada 4.5 peratus menjelang akhir tahun, demikian menurut United Overseas Bank (M) Bhd.

Ahli ekonomi kanannya, Julia Goh berkata, pasaran buruh Malaysia dilihat bertambah baik dengan kadar pengangguran turun untuk bulan kedua berturut-turut kepada 4.7 peratus pada Julai daripada 4.9 peratus pada Jun dan puncak 5.3 peratus pada Mei.

Beliau berkata, jumlah tenaga kerja meningkat sebanyak 55,000 orang (bulan ke bulan) kepada 15.82 juta orang pada Julai berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan termasuk aktiviti pelancongan, pendidikan, hiburan dan rekreasi.

“Kemasukan graduan baharu dan pekerja kembali untuk mencari pekerjaan kerana keadaan ekonomi terus pulih seharusnya menyaksikan kadar penyertaan tenaga yang lebih tinggi dalam bulan-bulan mendatang,” kata beliau dalam satu nota hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan peningkatan pengambilan pekerja pada Julai, didahului oleh sektor perkhidmatan terutamanya penginapan, makanan dan minuman dan aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

“Peningkatan pekerjaan dalam sektor pembuatan diterajui oleh elektrik dan elektronik, berkaitan logam, percetakan, plastik, kenderaan bermotor dan produk getah.

“Meskipun petunjuk pasaran buruh baru-baru ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kami menjangkakan halangan dalam bergerak ke hadapan ekoran beberapa langkah bantuan seperti program subsidi upah dan moratorium enam bulan akan tamat akhir bulan ini,” kata beliau.

Bagaimanapun moratorium pinjaman dan bantuan bayaran balik selepas ini akan dilanjutkan secara bersasar kepada mereka yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Ini akan membantu mempercepatkan peralihan daripada langkah-langkah bantuan sementara secara meluas dan mencegah satu lagi gelombang penutupan dan pemberhentian perniagaan,” kata Goh. - Bernama